Potongan pinjaman 60 peratus gaji, penjawat awam tetap layak buat pinjaman rumah

Harits Asyraf Hasnan
November 15, 2017 14:44 MYT
Pengecualian pengiraan pinjaman perumahan dalam pendapatan bersih akan menggalakkan pemilikan rumah oleh penjawat awam. - Foto Fail
Pengecualian pengiraan pinjaman perumahan dalam pendapatan bersih diharap dapat menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan penjawat awam.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata penjawat awam layak mendapatkan pinjaman perumahan itu walaupun potongan pinjaman mereka melepasi 60 peratus daripada pendapatan.
"Ada pekeliling yang kita keluarkan sebelum ini menyatakan bahawa pendapatan bersih penjawat awam mestilah 40 peratus daripada gaji asal. Ini bermakna pemotongan sebarang pinjaman mestilah tidak melebihi 60 peratus daripada gaji.
"Kita telah menyediakan PP1M dan kita minta unit yang mengendalikan pinjaman perumahan di bawah Perbendaharaan untuk memberi sedikit kelonggaran. Jadi kami buat keputusan untuk beri pengecualian kepada pinjaman perumahan.
"Ia (pengecualian) berkuat kuasa serta merta," katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Laporan Bank Dunia "Enhancing Public Sector Performance: Malaysia’s Experience with Transforming Land Administration", di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan surat pekeliling pengecualian potongan pinjaman perumahan bagi pengiraan pendapatan bersih penjawat awam yang disiarkan di laman Facebooknya.
Ditanya sama ada pengecualian tersebut akan menyebabkan hutang isi rumah penjawat awam meningkat, Ali menafikannya.
"Hutang isi rumah berasingan antara pinjaman rumah dan pinjaman lain-lain. Ada orang yang buat pinjaman untuk perabot dan sebagainya.
"Dalam kes ini, rumah adalah perkara utama dan kita mahu penjawat awam dapat memiliki rumah terutama menerusi 200,000 rumah bawah Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M)," katanya.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman dalam pekeliling semalam berkata Jawatankuasa Khas Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa pada 3 Oktober lalu telah menyarankan pengecualian terhadap pelaksanaan surat JPA.BK(S)328/2 Jld. 13(9), ANM/SPP/M/3/10 Jld. 20(11) dan Pekeliling Perbendaharaan Bil. 10 Tahun 1994 yang melibatkan pembelian rumah.
Katanya, pengecualian itu dibuat bagi memastikan penjawat awam dapat memiliki rumah yang merupakan satu keperluan asas hidup.
#Ali Hamsa #gaji #pendapatan bersih #penjawat awam #Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia #rumah
;