Potongan cukai taksiran kurangkan beban kewangan warga Putrajaya - Hisamudin

Bernama
Disember 24, 2022 11:15 MYT
Seramai 8,500 pembeli unit kediaman PPAM dan PR1MA yang berharga RM300,000 ke bawah dapat menarik nafas lega susulan keputusan tersebut. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan memberikan potongan 30 peratus daripada jumlah cukai taksiran yang dikenakan, dapat mengurangkan beban kewangan ditanggung warga Putrajaya terutama penjawat awam, kata Ahli Dewan Negara Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya.
Beliau berkata seramai 8,500 pembeli unit kediaman Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang berharga RM300,000 ke bawah dapat menarik nafas lega susulan keputusan tersebut.
"Kenaikan kos sara hidup yang tinggi sudah pasti akan menekan kehidupan mereka dan diskaun sebegini sudah pasti ditunggu-tunggu, memandangkan krisis ekonomi di seluruh dunia pada tahun 2023 lebih mencabar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pengurangan itu sekali gus membuktikan keprihatinan Kerajaan Perpaduan yang mendengar keluh kesah rakyat, terutamanya golongan M40 dan B40 di Putrajaya kerana kutipan terdahulu sememangnya lebih tinggi berbanding kawasan lain.
Mohd Hisamudin berkata penduduk Putrajaya juga berharap pengurangan cukai taksiran itu dapat dikekalkan untuk jangka masa lebih panjang, demi kelangsungan hidup penduduk.
"Saya yakin 'hadiah' ini akan meningkatkan lagi semangat penjawat awam dan penduduk Putrajaya yang terkesan peningkatan kos sara hidup," katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa semua kediaman berharga bawah RM300,000 di Putrajaya, akan diberikan potongan sebanyak 30 peratus daripada jumlah cukai taksiran yang dikenakan dan akan berkuat kuasa mulai 1 Jan tahun depan, sehingga penilaian semula dilaksanakan oleh Perbadanan Putrajaya.
-- BERNAMA
#Peningkatan kos sara hidup #PPAM #PR1MA #Mohd Hisamudin Yahaya #PM10 #Tumpuan PM10
;