Potongan 30 peratus majikan terhadap dana HRDF dihentikan 15 Nov
Farish Aziz
November 10, 2018 17:55 MYT
November 10, 2018 17:55 MYT
Mulai 15 November ini, kerajaan akan menghentikan potongan 30 peratus bagi dana Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (KWPSM) daripada levi yang disumbangkan oleh majikan yang berdaftar dengan Tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF).
Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata keputusan tersebut dibuat selepas berbincang dengan Jawatankuasa Pemantauan Bebas Tadbir Urus (GOC), Lembaga Pengarah HRDF dan pengurusannya.
Menurut beliau dana yang diwujudkan sejak tahun 2016 menerusi Akta PSMB 2001, menetapkan agar semua majikan yang berdaftar dibawah HRDF perlu membayar satu peratus levi bulanan dengan 30 peratus levi berkenaan disalurkan kepada KWPSM.
Dana itu merupakan satu inisiatif strategik dalam menyokong agenda negara untuk mencapai 35 peratus tenaga kerja mahir Malaysia menjelang tahun 2020.
Bagaimanapun laporan GOC yang diketuai Pengerusinya Tan Sri Rebecca Sta Maria mendapati terdapat kelemahan dan salah guna kuasa menerusi dana itu meskipun matlamatnya untuk membantu golongan B40 dan usahawan serta Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
“Terdapat banyak perusahaan yang tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk menyumbang kepada HRDF tetapi tenaga kerja mereka juga perlu dilatih,” katanya.
Justeru pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan bagi mencari mekanisme baharu agar golongan terbabit terus dibantu.
#akta
#B40
#dana
#Dana Disatukan
#henti
#HRDF
#Kementerian Sumber Manusia
#komisen
#levi
#M Kula Segaran
#M Kulasegaran
#SME