Potong gaji, elaun wakil rakyat secara sukarela, tidak perlu usul - Shahidan Kassim

Adie Sufian Zulkefli
Januari 16, 2021 16:19 MYT
Datuk Seri Shahidan Kassim (tiga dari kiri) bersama sukarelawan pada majlis pelancaran bantuan banjir UMNO Malaysia dan negeri di Pusat Khidmat Kubang Gajah, Kangar pada Sabtu. - Gambar Astro AWANI
KANGAR: Cadangan pemotongan gaji atau elaun Ahli Dewan Rakyat termasuk menteri boleh sahaja dilakukan tanpa perlu membawa usul ke Parlimen.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pemotongan antara 10 hingga 20 peratus itu boleh dibuat secara sukarela dan kesedaran setiap ahli bagi membantu rakyat.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC) itu berkata, beliau sendiri secara peribadi melakukan perkara sama dengan memotong elaun yang diterimanya.
Wang hasil pemotongan tersebut digunakan beliau membantu penduduk di kawasan-kawasan sekitar negeri Perlis.
Menurut Shahidan, perkara itu tidak perlu tunggu dibawa ke Dewan Rakyat, sebaliknya, setiap wakil rakyat boleh bermula dari sekarang untuk pemotongan gaji dan elaun untuk membantu rakyat.
“Saya cadangkan (secara) sukarela, kalau nak potong macam itu (di Parlimen) mungkin ada orang tidak mahu (buat) sukarela, ada pula nak bagi (potongan) lima peratus, setengah orang (wakil rakyat) nak bagi 10 peratus, nak bagi 20 peratus… terpulanglah.
“Buat masa ini sementara menunggu apa-apa keputusan, (berilah) secara sukarela, katakan (niat) bersedekah kerana Allah.
“Setengah orang tidak mahu potong (gaji atau elaun) sebab tidak cukup untuk belanja di kawasan mereka,” jelas Shahidan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran bantuan banjir UMNO Malaysia dan negeri di Pusat Khidmat Kubang Gajah, di sini hari ini.
Pasukan tersebut digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan banjir di Pahang, Kelantan dan Johor bagi melaksanakan kerja-kerja pasca banjir.
Baru-baru ini, timbul isu pemotongan emolumen iaitu gaji atau elaun ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Negara tidak boleh dilaksanakan ketika fasa Proklamasi Darurat kerana melanggar undang-undang pentadbiran Parlimen.
Perkara itu ditegaskan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim yang berkata, sebarang pemotongan emolumen ahli haruslah diusulkan di dewan masing-masing untuk dilulus atau ditolak kerana berkait dengan pindaan akta.
Menurut Rais, desakan sesetengah pihak supaya gaji serta elaun Ahli Parlimen dan Senator dipotong kerana tidak bersidang disifatkan sebagai tidak relevan memandangkan mereka tetap memberikan khidmat meskipun dalam tempoh darurat.
#potong gaji #potong elaun #wakil rakyat #ahli Parlimen #senator #tidak perlu usul #Parlimen #Dewan Rakyat #Shahidan Kassim #Rais Yatim
;