Potensi penyembuhan melalui antiviral koronavirus

Bernama
Februari 7, 2020 05:58 MYT
Ujian klinikal itu akan dijalankan di Wuhan, China melibatkan 500 pesakit. - Gambar fail
China pada Khamis memulakan ujian klinikal ke atas 500 pesakit koronavirus (2019-nCoV) menggunakan ubat Remdesivir, antiviral yang dipercayai berpotensi menyembuhkan penyakit itu.
Seorang ahli virologi tempatan Prof Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit berkata langkah itu amat dialu-alukan kerana ubat antivirus itu menunjukkan hasil yang baik dalam ujikaji haiwan.
Walaupun setakat ini tiada kajian keberkesanan Remdesivir dijalankan ke atas pesakit koronavirus, penggunaan antiviral itu ke atas pesakit koronavirus di Amerika Syarikat menunjukkan hasil positif.
Menurut laporan berita, pesakit diberikan ubat itu secara intravena selepas kesihatannya merosot dan sejurus itu mendapat pneumonia. Simptom penyakit didapati hilang pada keesokan harinya.
Kejayaan menyembuhkan satu kes novel koronavirus bukanlah bukti keberkesanan ubat itu, namun sebuah laporan kajian sekumpulan saintis China yang diterbitkan dalam jurnal saintifik Cell Research turut menunjukkan keputusan memberansangkan. Ia menunjukkan kejayaan Remdesivir dalam menghalang 2019-nCov menjangkiti sel yang dibiak dalam makmal.
China meluluskan pendaftaran ujian klinikal penggunaan Remdesivir awal minggu ini. Kumpulan pertama pesakit dengan pneumonia yang dijangkiti novel koronavirus telah mula mengambil ubat itu pada 6 Feb.
"Ujian klinikal yang dijalankan China ini adalah lebih menyeluruh dan akan memberikan bukti yang lebih kukuh tentang keberkesanan antiviral itu," kata Lam, yang juga felo kanan di Akademi Sains Malaysia.
REMDESIVIR
Antivirus itu pertama kali dihasilkan oleh syarikat gergasi farmaseutikal biotek Gilead Sciences bagi merawat jangkitan virus Ebola dan Marburg. Bagaimana pun ia turut menunjukkan potensi sebagai agen antiviral melawan koronavirus seperti SARS (sindrom pernafasan akut teruk) dalam kajian yang dijalankan ke atas jangkitan dalam tikus dan monyet.
Walaupun masih di peringkat eksperimen, Remdesivir tidak memberikan kesan negatif ketika digunakan dalam rawatan pesakit Ebola. Bagaimana pun, ia tidak berkesan ke atas virus itu kerana Ebola adalah daripada kumpulan virus berlainan daripada koronavirus.
Antiviral itu didapati menghalang koronavirus daripada membiak setelah memasuki tubuh.
"Remdesivir didapati bertindak ke atas virus tanpa memberi kesan toksik kepada sel. Ini menjadikannya agen antiviral yang sesuai bagi rawatan," jelas Lam.
Katanya adalah penting untuk mengenalpasti agen antiviral yang berkesan untuk melawan penyakit itu memandangkan pada masa ini tiada rawatan berkesan yang diluluskan untuk merawat penyakit berpunca daripada novel koronavirus.
"Kajian makmal menggunakan sel yang dibiak secara kultur dalam tabung uji menunjukkan hasil positif. Kajian haiwan juga menunjukkan ubat ini selamat digunakan dalam melawan koronavirus.
"Kini, kita perlu menjalankan ujian klinikal ke atas pesakit untuk membuktikan keberkesanan antiviral itu," kata Lam yang juga perunding penyelidikan di Universiti Malaya.
Selain Remdesivir, ubat lain yang sedang dinilai untuk rawatan termasuk chloroquine, ribavirin, interferon, penciclovir, nitazoxanide, nafamostat dan favipiravir.
Lam berkata ketika wabak virus Nipah pada 1998-1999, Pusat Perubatan Universiti Malaya telah menggunakan ubat eksperimental ribavirin dalam rawatan kes ensefalitis akut Nipah dan ia menunjukkan keberkesanan dalam mengurangkan kadar kematian akibat ensefalitis akut Nipah.
"Harapannya, ribavirin dan perencat RNA lain akan turut berkesan merawat pesakit koronavirus," katanya.
(Perencat RNA ialah bahan atau ubat yang menghalang virus asid ribonuklik daripada membiak dan dengan itu mencegah pembentukan virus. Koronavirus merupakan virus yang mengandungi virus RNA.)
China juga sedang menguji chloroquine dan ubatan lain. Chloroquine digunakan secara meluas sebagai ubat anti-malaria dan untuk merawat penyakit autoimun dan telah digunakan lebih 70 tahun.
Ubat itu baru-baru ini dilaporkan berpotensi bertindak sebagai ubat antiviral spektrum-luas yang berupaya menghalang virus memasuki sel dan merencatkan pembentukan virus dalam sel yang sudah dijangkiti.
"Memanglah bagus sekiranya choloroquine dapat digunakan dalam rawatan koronavirus memandangkan ia telah digunakan untuk merawat malaria bertahun-tahun lamanya. Tambahan pula, ianya selamat dan murah," kata Lam.
UJIAN KLINIKAL
Seorang jurucakap Gilead, Ryan McKeel, baru-baru ini dipetik sebagai berkata, dua ujian klinikal itu akan dijalankan di Wuhan, China melibatkan 500 pesakit.
Mereka akan diberikan Remdesivir manakala beberapa kumpulan kawalan akan diberikan plasebo.
Pesakit untuk kumpulan ujian pertama adalah mereka yang sakit teruk, seperti yang memerlukan bantuan oksigen, manakala kumpulan lain melibatkan pesakit yang dimasukkan ke dalam hospital tetapi dalam keadaan yang kurang serius.
Pesakit yang mengambil Remdesivir akan diberikan ubat itu secara intravena selama 10 hari. Selepas 28 hari, mereka akan dinilai semula untuk melihat keadaan mereka berbanding kumpulan plasebo.
--BERNAMA
#Amerika Syarikat #anti virus #China #coronavirus #Dr Lam Sai Kit #Ebola #hilang #Hospital #koronavirus #Malaysia #perubatan #Remdesivir #Sains #ujian klinikal
;