Potensi peluang pekerjaan perlu diperluas melalui pakej PEMULIH - Penganalisis
Eton Khir
Jun 30, 2021 11:48 MYT
Jun 30, 2021 11:48 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan diharap dapat memberikan penekanan pada pakej PEMULIHAN bagi sektor pekerjaan khususnya kepada sektor-sektor yang mempunyai potensi untuk berkembang dalam jangka masa panjang.
Menurut, Pengasas GigXGlobal, Shareen Shariza Abd Ghani, antara sektor yang mempunyai potensi cerah untuk dikembangkan adalah sistem penjagaan kesihatan atau healthcare.
"Dari segi bantuan tu memang akan ada kesinambungan namun jika kita mahu ekonomi itu pulih seperti sedia kala, haruslah dilihat dari sudut jangka panjang mengenai potensi perkembangan sektor ini.
"Kita akan tengok sektor mana yang akan menunjukkan peningkatan dari segi economic growth dan dalam masa sama kita juga akan memastikan untuk prepare the supply need and demand.
"Jika tidak ia akan menjadi terlalu meluas dan terlalu umum. Dalam masa sama, perlu juga dilihat potensi dari sektor-sektor lain yang terkesan akibat COVID-19 ini. Kita tengok potensi economic growth mereka,” katanya kepada Astro AWANI.
Mengulas lanjut, Shareen berpandangan bagi mengekalkan ekosistem pekerjaan, Malaysia masih memerlukan tenaga kerja dalam kalangan pekerja asing bagi mengisi kekosongan terutamanya dalam sektor 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar yang kurang diceburi rakyat tempatan.
“That's a good plan, bukan hanya pada Malaysia tapi kebanyakan negara juga. Dimana mereka pun kena tengok kapasiti tenaga kerja sendiri. Tetapi sesetengah pekerjaan yang dijalankan oleh pekerja asing ini, saya tidak pasti pekerja Malaysia mahu buat kerja seperti itu.
“Kalau kita tengok pekerja asing yang bekerja di ladang, security, tidak banyak pekerja tempatan yang mahu buat kerja macam tu. Kerja-kerja dark and dirty. Tipikalnya tidak banyak pekerja tempatan hendak buat kerja tu. Jadi untuk keseimbangan itu, we still need foreign workers dan tengok tahap mana kita hendak masukkan pekerja Malaysia untuk ambil alih,” tambahnya.
Sementara itu mengulas mengenai sektor latihan yang disentuh dalam pelan PEMULIHAN yang diumumkan, Presiden Persekutuan Pusat Bertauliah JPK Malaysia (FeMAC), Azizul Mohd Othman berharap penawaran pakej bantuan oleh kerajaan perlu diselarikan dengan latihan yang ditawarkan.
Ini bagi memastikan tiada mereka yang menganggur selepas tamat menjalani latihan.
“(Bantuan) melibatkan lebih 30,000 peserta dan objektif utamanya adalah untuk melatih golongan ini serta membolehkan mereka mendapat pekerjaan.
“Namun bagi pihak kami, adanya banyak cabaran yang perlu dihadapi. Ini kerana untuk melayakkan dan melatih 30,000 orang ini, kami perlu memastikan bahawa ada jaminan pekerjaan bagi mereka. Lebih lagi dengan situasi yang getir sekarang ini. Mendapatkan pekerjaan juga bukan mudah kecuali bagi industri-industri yang masih meneruskan perniagaan dan perkhidmatan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar kerajaan lebih cakna dan mengimbangi situasi semasa yang dihadapi oleh rakyat dalam menghulurkan bantuan bagi mencapai kesejahteraan bersama di saat situasi genting pandemik ketika ini.
#Astro
#Astro Awani
#ekonomi
#rakyat Malaysia
#pekerja asing
#Malaysia
#COVID-19
#pandemik
#PPN
#Pakej PEMULIH
#sektor pekerjaan
#sektor latihan
#PEMULIH