Potensi ketum untuk perubatan, eksport perlu diberi perhatian - Exco Kedah

Sinar Harian
Ogos 25, 2024 15:00 MYT
Dzowahir berkata, ia wajar diberikan perhatian berikutan pasaran daun ketum sangat besar dan ia boleh dijana bagi meningkatkan ekonomi rakyat.
ALOR SETAR: Kerajaan Persekutuan diminta menilai potensi daun ketum untuk dijadikan sumber komoditi baharu dieksport secara sah khususnya dalam bidang perubatan.
Exco Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab Ghani berkata, ia wajar diberikan perhatian berikutan pasaran daun ketum sangat besar dan ia boleh dijana bagi meningkatkan ekonomi rakyat.
Menurutnya, negara jiran Thailand sudah pun mempelopori sektor tersebut dan dijadikan sebagai salah satu alternatif perubatan di negara terbabit.
“Perkara ini terletak kepada kerajaan Pusat, baru-baru ini kita adakan perjumpaan (mesyuarat) bersama semua Exco Pertanian dari seluruh negeri bersama Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
"Dalam mesyuarat tersebut, dibangkitkan semula mengenai potensi daun ketum. Menteri ambil maklum dan Insya-Allah perkara berkenaan akan dibincang secara terperinci untuk membolehkan tanaman ketum ini dapat menjadi hasil pendapatan kerana pasarannya besar," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan pertanyaan lisan Muhamad Amri Wahab (Bersatu-Derga) berkaitan adakah kerajaan negeri bersetuju menjadikan daun ketum sebagai sumber pendapatan dengan mengeksport bahan itu memandangkan Thailand membenarkan penggunaan ketum sebagai rawatan herba.
Dzowahir berkata, hasrat mengeksport ketum secara sah pernah disuarakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada 2022 namun masih belum ada keputusan daripada kerajaan Persekutuan.
“Ketum bukan sahaja digunakan di Thailand malah negara Jerman turut menjadikan ia sebagai produk perubatan.
"Di Jerman, produk ketum dinamakan sebagai kretum dan pada botol pula dilabel sebagai produk Malay,” ujarnya.
Menurutnya, kerajaan wajar memberi perhatian serius berkaitan potensi ketum dan sekiranya diusahakan secara terkawal, ia bukan sahaja dapat menambah pendapatan penduduk tetapi juga sebagai sumber perubatan.
Pada November 2022, Sanusi dilaporkan berkata, Kedah akan meneruskan usaha mendapatkan kebenaran melakukan aktiviti mengeksport daun ketum ke Thailand secara sah daripada kerajaan Persekutuan bagi membantu meningkatkan ekonomi rakyat negeri itu.
Kerajaan negeri yakin usaha itu akan dapat direalisasikan sekiranya rakyat memberi kepercayaan kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu pernah berseloroh, pihaknya percaya sekiranya daun ketum dibenarkan dieksport ramai penduduk di Kedah bakal bergelar jutawan. - Sinar Harian
#potensi ketum #tujuan perubatan #eksport ke luar negara #Kedah
;