Potensi kemasukan pelajar dari China meriahkan sektor pendidikan - MPN
Faida Rahim
Mei 24, 2023 20:10 MYT
Mei 24, 2023 20:10 MYT
KUALA LUMPUR: Potensi kemasukan pelajar dari negara China untuk memeriahkan sektor pendidikan di negara ini dilihat sangat besar.
Presiden Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Raduan Che Ros memberitahu negara mensasarkan seramai 250,000 pelajar menjelang tahun 2025 diikuti Bangladesh dan Indonesia.
"Sekarang pun saya melihat trend yang sangat pesat meningkat pelajar pelajar dari China itu. Dan kita juga dalam kerangka kerjasama dengan kerajaan China untuk menentukan bahawa mereka yang datang itu benar-benar mempunyai kualiti yang memenuhi aspirasi pendidikan tinggi negara.
"Kalau ikutkan nombor, kita mampu mempunyai nombor yang besar tapi kita hendak menentukan bahawa yang datang itu memenuhi kriteria yang ditetapkan negara kita," katanya kepada media, selepas program 'Pelaburan di Malaysia Pilihan Bijak' anjuran Majlis Profesor Negara di Kuala Lumpur pada Rabu..
Jelas beliau, Institusi Pendidikan Tinggi tempatan turut melakukan kerjasama dengan Institusi Pendidikan di China sama ada melalui model francais ataupun program off-shore.
"Saya nampak trendnya akan lebih meningkat lagi," ujarnya.