Potensi jangkitan semula COVID-19 rendah - Dr Noor Hisham

Bernama
April 10, 2020 23:14 MYT
Pesakit boleh dijangkiti semula, walaupun telah dikesan negatif dua kali dalam tempoh lebih 24 jam, kata Noor Hisham. - Bernama
Potensi untuk pesakit COVID-19 yang telah pulih dan dibenar discaj daripada wad untuk dijangkiti semula adalah rendah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata walaupun kemungkinan dijangkiti semula rendah, pesakit akan diberi kaunseling sebelum dibenarkan pulang dan disaran agar sentiasa mengamalkan penjarakan sosial, menjaga kebersihan serta mengelak daripada pergi ke tempat tumpuan ramai.
"Mereka boleh dijangkiti semula, walaupun telah dikesan negatif dua kali dalam tempoh lebih 24 jam,
"... ada kalanya antibodi tak cukup, (bermaksud) dia ada antibodi, tapi tak cukup kalau mereka dijangkiti semula, antibodi itu dapat memberi perlindungan," katanya pada sidang media harian mengenai COVID-19 di sini pada Jumaat.
Sehingga kini, seramai 1,830 pesakit iaitu 42.11 peratus pesakit COVID-19 dilaporkan telah pulih dan dibenarkan discaj daripada wad, bilangan itu melebihi jumlah kes baharu yang dilaporkan.
Katanya Kementerian Kesihatan (KKM) akan sentiasa memantau keadaan pesakit yang telah bebas daripada wabak itu dan membuat rawatan susulan bagi memastikan kes jangkitan tidak berulang.
"Peratusan jangkitan semula mungkin tidak tinggi, jadi kita harap mereka mengambil tindakan untuk mencegah daripada dijangkiti," katanya.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata KKM sedang meneliti dan mengenal pasti kecekapan beberapa kit ujian dalam mendapatkan hasil ujian saringan dengan lebih cepat dan tepat.
"Kita masih dalam peringkat membuat penilaian dan verifikasi 'rapid test kit antigen', jadi mungkin dengan penilaian kita dari masa ke semasa kita harap dapat kenal pasti satu kit ujian yang tepat dan boleh dipercayai.
"Jadi kita kena lihat satu ujian yang cepat dari segi 'turnaround time' kalau kita dapat laksanakan satu ujian COVID-19 dalam tempoh masa setengah jam atau satu jam itu adalah paling baik, tetapi setakat ini tidak jumpa lagi 'rapid test kit' yang berkesan dengan ketepatan tinggi," katanya.
Dr Noor Hisham berkata KKM akan melaksanakan ujian klinikal terhadap kit ujian dari Korea Selatan dalam masa terdekat bagi memastikan keberkesanan peralatan tersebut.
"Kita tak nak ulang kesilapan, contohnya Sepanyol, dan baru-baru ini kita dimaklumkan di United Kingdom juga mereka membeli 'rapid test kit' dan sensitiviti dia kurang, jadi 'false negative' dan 'false positive', ada ketidaktetapan dari segi melaporkan ujian," katanya.
-- BERNAMA
#COVID-19 #Kementerian Kesihatan #KKM #koronavirus #Noor Hisham Abdullah
;