Poster PM, calon PH Kuala Terengganu disimbah cat merah

Umavathi Ramayah
Ogos 2, 2023 17:40 MYT
Politik tidak matang terus mencemari perjalanan PRN apabila poster yang memaparkan gambar Anwar Ibrahim disimbah cat merah. - Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Politik tidak matang terus mencemari perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) apabila poster yang memaparkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon PKR bagi Parlimen Kuala Terengganu, Azan Ismail disimbah cat merah.
Justeru, Pakatan Harapan menerusi setiausaha negerinya, Tengku Sahrudin Tengku Othman membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan menerima laporan itu.
Beliau berkata, bertindak atas laporan itu, pihaknya sudah membuka kertas siasatan.
Sementara itu, Azan yang menyifatkan perbuatan itu sebagai satu bentuk ancaman berkata, ia turut mengundangkan kebimbangan dalam kalangan petugas.
"Kita terima maklumat bahawa terdapat vandalisme yang keterlaluan ke atas bahan-bahan kempen kita terutama dalam bentuk menghina poster-poster yang memaparkan gambar perdana menteri.
"Perkara ini sudah berlaku beberapa hari, namun hari ini agak ketara kerana salah satu poster berkenaan menggunakan senjata tajam untuk menebuk muka perdana menteri," katanya ketika ditemui di IPD Kuala Terengganu di sini, pada Rabu.
Poster tersebut berada di jalan menghala ke Masjid Terapung Kuala Terengganu, di sini.
Mengulas lanjut, Azan turut menyifatkan tindakan itu sebagai satu berbentuk penghinaan.
Dalam pada itu ketika ditanya mengenai satu poster tular yang menyebut 'Kami mahu UMNO', beliau berkata, tindakan itu dilakukan hanya untuk melaga-lagakan parti dalam gabungan itu.
"Saya fikir perbuatan ini dilakukan pihak lawan, sebab itu kita kena buat laporan supaya perbuatan ini tidak terus menjadi ekstrim.
"Saya berpandangan tidak ada sebab budak-budak atau orang ramai yang tiada kaitan dalam politik melakukan benda ini," tambahnya.
#Perdana Menteri #pilihan raya negeri #pilihan raya kecil #simbah cat merah
;