Poster gadis mineral 'dicabul', Shell arah iklan ditarik balik

Syafik Shukri Jalil
Julai 4, 2017 10:54 MYT
Poster realistik gadis berusia 25 tahun itu mengundang perhatian umum selepas ia ditempatkan di tepi unit pam minyak di stesen Shell seluruh negara. - Foto shell.com.my
Syarikat minyak gergasi Shell, mengarahkan poster gadis 'air mineral' ditarik balik dari semua stesen mereka berkuat kuasa serta-merta sejak semalam.
Ia susulan tindakan tidak bertanggungjawab beberapa individu yang bertindak 'mencabul' dan melakukan pelbagai aksi tidak senonoh terhadap poster gadis tersebut yang dikenali sebagai Nor Shafila Khairusalleh, 25 tahun.
“Kami tidak bersetuju dengan tindakan kurang sopan itu, yang sama sekali dilihat bertentangan dengan budaya Malaysia dan nilai murni Shell,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menerusi kenyataan itu juga, pihak Shell turut menggesa pengguna internet untuk tidak lagi menyebarkan imej poster gadis itu yang diubah hingga mempunyai unsur tidak senonoh.
Shell tampil dengan kenyataan tersebut setelah berita mengenai gambar poster berkenaan 'dicabul' tular sejak minggu lalu.
Poster realistik gadis berusia 25 tahun itu mengundang perhatian umum selepas ia ditempatkan di tepi unit pam minyak di stesen Shell seluruh negara.
#cabul #ditarik balik #gadis mineral #Nor Shafila Khairusalleh #shell #stesen minyak
;