Posmen nafi curi, gadai 'parcel' berisi barang kemas

Shuhada Abdul Kadir
Mei 24, 2022 13:51 MYT
Tertuduh, Mohamad Azizal Rebu didakwa mencuri seutas rantai leher emas yang mempunyai loket bertulis Atieda dan satu loket emas kecil pada 10 Mac 2022. - Gambar Astro AWANI
AYER KEROH: Gara-gara mencuri dan menjual bungkusan berisi barang kemas, seorang posmen yang bertugas di bahagian kaunter serahan sebuah syarikat penghantaran dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Mohamad Azizal Rebu,42, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang sudah 15 tahun bertugas sebagai posmen didakwa mencuri seutas rantai leher emas yang mempunyai loket bertulis ‘Atieda’ dan satu loket emas kecil pada 10 Mac 2022, kira -kira jam 8 hingga 10.30 pagi di Pusat Serahan Ayer Keroh, Taman Tasek Utama.
Bagi kesalahan itu, bapa tiga anak berkenaan didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut berdepan dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 414 kanun sama kerana menghapuskan harta curi berkenaan dengan cara menjualkannya di sebuah premis pajak gadai di Jalan Munshi Abdullah.
Tindakan itu dibuat menerusi dua transaksi berasingan pada 12 dan 21 Mac 2022 lalu dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Difahamkan, kejadian itu disedari selepas pengadu yang membeli barangan kemas berharga RM6,800 beserta insuran dimaklumkan barangannya telah diisytiharkan hilang ketika transit.
Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri, memohon jaminan sebanyak RM 10,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.
Mohamad Izwan pada penghakimannya kemudian membenarkan jaminan RM 7,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 7 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Tertuduh diwakili peguam Amritpal Singh.
#posmen curi parcel #gadai parcel #barang kemas #Pusat Serahan Ayer Keroh
;