Positif COVID-19: Tiada lagi kuarantin di rumah, berkuat kuasa 15 Julai

Astro Awani
Julai 5, 2024 22:13 MYT
Individu yang disahkan positif COVID-19 hanya digalak memakai pelitup muka, meminimumkan interaksi sosial dan mengelak tempat sesak. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Individu positif COVID-19 tidak lagi diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) atau arahan kuarantin di rumah berkuat kuasa 15 Julai ini.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan individu yang disahkan positif COVID-19 hanya digalak memakai pelitup muka, meminimumkan interaksi sosial dan mengelak tempat sesak.
Malah, tambah kenyataan itu, indivdu yang positif juga akan dirawat sama seperti pesakit yang mengalami jangkitan saluran penafasan lain.
Menurutnya, peraturan baharu itu dikuat kuasa selepas jumlah kes COVID-19 serta kes kematian menunjukkan penurunan selain tiada varian baharu dikesan di Malaysia sehingga kini.
"Bagaimanapun individu positif COVID-19 boleh mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya gejala berterusan atau bertambah teruk.
"Pemberian sijil cuti sakit dan rujukan ke hospital (jika perlu) adalah berdasarkan penilaian pegawai perubatan yang merawat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambah kenyataan itu lagi, setakat ini varian yang sedang menular di Malaysia adalah varian Omicron dengan subvariannya terdiri daripada Variant of Concern (VOC), Variant Of Interest (VOI) dan Variant Under Monitoring (VUM).
Selain itu, biarpun negara memasuki peralihan fasa hidup bersama COVID-19, KKM akan sentiasa memantau situasi terkini COVID-19 di peringkat Global dan dalam negara.
Tiga indikator yang dipantau ialah kes baharu COVID-19, kes kematian dan kemasukan kes COVID-19 ke hospital.
#COVID-19 #kuarantin #kesihatan #jangkitan #KKM
;