Positif COVID-19: Dua cawangan Jaya Grocer ditutup sementara
Farhana Joni
Januari 27, 2021 14:00 MYT
Januari 27, 2021 14:00 MYT
KUALA LUMPUR: Dua cawangan pasar raya Jaya Grocer ditutup sementara susulan beberapa pekerja di cawangan Jaya Grocer Mutiara Tropicana dan Empire Shopping Gallery disahkan positif COVID-19.
Pengurusan The Jaya Grocer dalam kenyataannya memaklumkan, bagi cawangan Empire Shopping Gallery, pihaknya telah menjalankan saringan COVID-19 terhadap semua pekerja pada 25 Januari lalu sebelum memperoleh keputusan ujian pada semalam.
"Beberapa pekerja Jaya Grocer Empire Shopping Gallery yang tinggal di hostel yang disediakan didapati positif.
"Pasar raya itu akan dibersihkan dan disanitasi mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia," kata kenyataan yang disiarkan di akaun Facebook syarikat tersebut.
Katanya, semua pekerja yang memperoleh keputusan negatif di cawangan terbabit akan menjalani proses kuarantin seterusnya menjalani ujian saringan kedua, sebelum kembali memulakan kerja.
Sementara itu, cawangan Jaya Grocer Mutiara Tropicana pula mendapati terdapat seorang pekerja positif COVID-19.
Kata kenyataan berlainan, tindakan sama akan diambil iaitu menutup sementara cawangan terbabit bagi kerja-kerja pembersihan serta sanitasi dilakukan.
Dalam masa sama, pihak pengurusan Jaya Grocer memaklumkan cawangan itu akan kembali beroperasi semula pada Khamis.
#jaya grocer
#positif
#COVID-19
#Jaya Grocer Mutiara Tropicana
#Jaya Grocer Empire Shopping Gallery
#Facebook
#Pekerja
#Hostel pekerja