Positif COVID-19, 116 calon SPM tak duduki ujian lisan, amali Sains di Melaka

Shuhada Abdul Kadir
Februari 9, 2022 11:34 MYT
Jabatan Pendidikan negeri sudah menghantar nama semua calon kepada Lembaga Peperiksaan untuk dipertimbangkan mengambil ujian pada April. - Gambar hiasan/ Bernama
ALOR GAJAH: Seramai 116 daripada 13,134 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini tidak dapat menduduki ujian lisan Bahasa Melayu dan amali Sains yang bermula Selasa kerana menjalani kuarantin selepas dijangkiti COVID-19.
Exco Pendidikan negeri, Datuk Rais Yasin berkata, Jabatan Pendidikan negeri bagaimanapun sudah menghantar nama semua calon kepada Lembaga Peperiksaan untuk dipertimbangkan mengambil ujian pada sidang kedua April ini.
"Kita mempunyai 116 orang calon SPM tak dapat ambil SPM (ujian lisan Bahasa Melayu dan amali Sains) sebab mereka positif COVID-19. Mereka ini insya-Allah akan ambil SPM nanti pada bulan April.
"Ujian lisan bulan April nanti dia akan masuk. Sekarang ini tengah ujian lisan Bahasa Melayu iaitu pada 8 hingga 10 Februari. Amali Sains bermula 15 Februari dan tarikh ujian mendengar dan lisan Bahasa Inggeris pula dari 21 sampai 24 Februari.
"Kemudian ujian bertulis SPM bermula pada 2 Mac 2022 hingga 29 Mac 2022," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan akademi ragbi pertama Melaka di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu katanya, tiada keperluan menutup sesi persekolahan di negeri ini memandang kes COVID-19 membabitkan kluster pendidikan berada dalam keadaan terkawal.
"Hanya 50 murid masih positif COVID-19 manakala lebih 700 sudah dipotong gelang dan telah sihat sepenuhnya," katanya.
Sementara itu, mengenai dakwaan pegawai kesihatan dihalang melakukan pemeriksaan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan sekolah jelasnya, Jabatan Pendidikan negeri tiada sebarang halangan.
Bagaimanpun katanya, makluman awal perlu diberikan kepada pihak sekolah dan melalui prosedur yang betul.
#COVID-19 #SPM #Melaka #exco pendidikan