Posisikan kebudayaan Malaysia di luar negara - Ahmad Idham

Astro Awani
November 1, 2021 22:38 MYT
Ahmad Idham juga menjelaskan, usaha Diplomasi Budaya ini akan dapat membantu memperkasakan kebudayaan negara di luar negara. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Memposisikan kebudayaan Malaysia di negara luar merupakan iltizam Setiausaha Kebudayaan, Kementerian Luar Negeri, Ahmad Idham Nazari.
Ahmad Idham yang dilantik memegang jawatan tersebut menjelaskan, memposisikan kebudayaan Malaysia merupakan antara usaha yang akan dilakukan selaras dengan objektif membangunkan Diplomasi Budaya Malaysia.
Beliau menjelaskan, usaha memposisikan kebudayaan sesebuah negara itu pernah dilakukan oleh beberapa negara sebelum ini.
"Macam mana di Amerika dan di UK (United Kingdom), mereka memposisikan kebudayaan mereka di negara luar, sama juga dengan apa yang dilakukan oleh Indonesia, mereka pernah mewujudkan rumah budaya mereka di luar negara untuk mempromosikan budaya mereka.
"Kalau UK ada British Council, AS juga ada perkara seperti ini dan mereka menggunakan ini untuk perkenalkan budaya ke merata tempat di dunia.
"Jadi untuk peringkat awal bila saya dilantik ini, saya harap kita mesti memastikan kewujudan kita, kewujudan kebudayaan kita di negara luar," katanya kepada Astro AWANI.
Ahmad Idham juga menjelaskan, usaha Diplomasi Budaya ini akan dapat membantu memperkasakan kebudayaan negara di luar negara.
BACA: Idham dilantik Setiausaha Kebudayaan, Eizlan Perunding Kreatif di Kementerian Luar
Selain itu ia juga dapat membantu meningkatkan ekonomi menerusi sektor kebudayaan sekiranya diplomasi budaya dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Pada Isnin, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan pelantikan Ahmad Idham sebagai Setiausaha Kebudayaan, Kementerian Luar.
Selain pengarah dan penerbit itu, pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof turut dilantik sebagai Perunding Kreatif kementerian itu.
Dalam satu kenyataan, Saifuddin memaklumkan, pelantikan kedua-dua anak seni bagi jawatan baharu itu berkuat kuasa hari ini.
#Ahmad Idham Nazari #Setiausaha Kebudayaan #Kementerian Luar Negeri #diplomasi budaya
;