Pos Malaysia yakin catat keputusan kewangan lebih baik di masa hadapan

Bernama
April 25, 2024 04:00 MYT
Syed Faisal Albar berkata Pos Malaysia telah beralih secara progresif daripada imejnya sebagai "syarikat mel yang turut menghantar bungkusan" ke arah "syarikat bungkusan yang turut menghantar mel". - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd secara berhati-hati optimis untuk menyampaikan keputusan yang lebih baik pada masa hadapan dengan menempatkan asasnya bagi pertumbuhan dan transformasi yang berterusan.
Pengerusinya Tan Sri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar berkata penyedia perkhidmatan kurier nasional itu menyasarkan pengoptimuman sumber, mengurangkan risiko yang berkaitan dengan trend penurunan jumlah mel, mengewangkan aset serta mengitar semula modal untuk menyokong pertumbuhan dan transformasi selanjutnya.
"Pada masa depan, kami akan mengekalkan segenap fokus untuk meningkatkan prestasi kewangan dan transformasi perniagaan dan budaya, mengoptimumkan inisiatif yang diterajui margin, melaksanakan kawalan kos yang lebih ketat, dan meningkatkan langkah kemampanan," katanya dalam Laporan Tahunan Pos Malaysia 2023.
Syed Faisal Albar berkata Pos Malaysia telah beralih secara progresif daripada imejnya sebagai "syarikat mel yang turut menghantar bungkusan" ke arah "syarikat bungkusan yang turut menghantar mel", memfokuskan kepada pelaksanaan pelan transformasi tiga fasa yang direka untuk mencipta kemampanan jangka panjang dan nilai.
"Secara keseluruhannya, kami menyasarkan untuk mencapai keuntungan dengan menetapkan asas-asas dalam fasa satu; mengubah teras melalui perubahan budaya, kecemerlangan operasi, perjalanan pelanggan yang disusun semula, pendigitalan, pertumbuhan dan kualiti dalam fasa dua; dan berkembang menjadi syarikat penghantaran bungkusan yang turut menghantar mel dalam fasa tiga," tambahnya.
Sehubungan itu, beliau berkata Pos Malaysia berjaya mempercepatkan pertambahan pelanggan dengan lebih 19 peratus pelanggan baharu diperoleh, serta meningkatkan lagi hasil untuk mel dan bungkusan masing-masing sebanyak lapan peratus dan tujuh peratus.
"Kesan bersih daripada ini telah menyebabkan kerugian dikecilkan; satu petunjuk bahawa kita sudah pasti berada di landasan yang betul."
Pos Malaysia Bhd berjaya mengecilkan kerugian bersihnya kepada RM157.85 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023 daripada RM167.67 juta setahun sebelumnya walaupun terdapat pengurangan dalam hasil.
Hasil juga lebih rendah kepada RM1.87 bilion berbanding RM1.96 bilion pada 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Charles Brewer menyatakan bahawa tahun kewangan 2023 menyaksikan Pos Malaysia mencatatkan peningkatan berterusan dalam trajektori prestasinya.
Beliau berkata kumpulan itu telah mencapai kemajuan ketara dalam kecekapan operasi dengan mengoptimumkan rangkaian mel, bungkusan dan tenaga kerja, serta memanfaatkan infrastruktur negara yang meluas, membawa kepada penurunan kos operasi.
"Dalam sektor pos teras kami iaitu mel, bungkusan, runcit dan segmen antarabangsa, kami bersedia untuk meningkatkan keuntungan dengan memodenkan rangkaian runcit kami menjadi model dalam dan luar talian yang lancar, memfokuskan pada kepelbagaian hasil merentas pelbagai segmen pelanggan, meningkatkan kecekapan kami dalam rangkaian mel dan bungkusan, serta komited kepada pematuhan lebih 95 peratus tahap perkhidmatan penghantaran hari berikutnya," tambah beliau.
-- BERNAMA
#pos malaysia #Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar #transformasi perniagaan #syarikat mel
;