Pos Malaysia keluarkan setem khas rai wirawan paralimpik negara
Bernama
Disember 20, 2016 13:30 MYT
Disember 20, 2016 13:30 MYT
Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) hari ini mengeluarkan koleksi setem 'Kegemilangan Emas di Paralimpik Rio 2016' sempena meraikan pencapaian wirawan sukan negara pada temasya tersebut.
Mereka ialah Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi yang berjaya meraih pingat emas acara 100m T36, Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh T20).
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata ia menjadi penghormatan terbesar yang diberikan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Pos Malaysia untuk memberikan pengecualian meletakkan wajah atlet yang telah mengharumkan nama negara.
Menurut Khairy, ini kerana peraturan sebelum ini hanya membenarkan wajah-wajah ketua negara dan Raja-Raja Melayu sahaja yang boleh diletakkan di atas setem.
"Sebenarnya peraturan tidak membenarkan kita meletakkan wajah sebenar kecuali kepada ketua negara serta Raja Melayu, jadi ia merupakan satu penghormatan yang amat besar diberikan kepada mereka," katanya pada sidang media selepas melancarkan koleksi setem berkenaan di Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kompleks Dayabumi di sini hari ini.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak kerana telah memberi pengecualian supaya wajah atlet dapat diletakkan di atas setem," katanya.
Sementara itu, Muhammad Ziyad melahirkan perasaan terharu dan berterima kasih dengan penghormatan yang diberikan.
"Saya kagum melihat setem berkenaan kerana hasilnya amat cantik dan reka bentuk yang memukau. Ia satu penghargaan buat kami bertiga," katanya.
Dalam perkembangan lain, Khairy menjelaskan pembinaan Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan bagi acara berbasikal trek untuk Sukan SEA tahun depan berjalan lancar.
"Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dijangka akan menyerahkan kunci Velodrom berkenaan selewat-lewatnya pada Mac depan," katanya. - BERNAMA