Pos Kawalan Imigresen Pangalungan dan Bario keluarkan pas lintas sempadan
Bernama
April 20, 2022 20:29 MYT
April 20, 2022 20:29 MYT
PUTRAJAYA: Penduduk di Bario, Sarawak dan Pangalungan, Sabah kini tidak lagi perlu mengembara sejauh lebih 100 km hanya untuk mendapatkan Pas Menyeberangi Sempadan atau Pas Lintas Batas kerana ia boleh diperolehi di Pos Kawalan Imigresen di kawasan masing-masing.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata Pos Kawalan Imigresen di Pangalungan dan Bario telah mula mengeluarkan Pas Menyeberangi Sempadan atau Pas Lintas Batas itu kepada penduduk di kawasan berkenaan.
Menurutnya sebelum ini penduduk di Bario dan Pangalungan terpaksa mengembara melebihi 100km menaiki bot atau kenderaan pacuan 4 roda untuk ke Miri, Sarawak dan Keningau, Sabah untuk mendapatkan dokumen yang hanya berharga RM20 itu.
"Melalui inisiatif ini, Keluarga Malaysia di sana tidak perlu lagi menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit kerana dokumen itu boleh diperolehi di penempatan mereka," katanya pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 Jabatan Imigresen di sini hari ini.
Sementara itu Khairul berkata konsep 'No Wrong Door Policy' yang diperkenalkan secara projek perintis sejak pertengahan tahun lepas, akan dilaksanakan sepenuhnya secara berperingkat.
'No Wrong Door Policy' bermaksud urusan pembaharuan Pas Lawatan Jangka Panjang seperti pas isteri/suami kepada warganegara dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) boleh diperbaharui di mana-mana Pejabat Imigresen, dan tidak lagi terhad kepada pejabat asal di mana fail dibuka.
Sebagai contoh, katanya Pejabat Imigresen di Jalan Reko, Kajang sebelum ini hanya mengeluarkan pasport tetapi di bawah konsep 'No Wrong Door Policy', pejabat itu kini telah memproses pembaharuan pas-pas jangka panjang berkenaan secara dalam talian.
Khairul Dzaimee dalam pada itu memaklumkan Jabatan Imigresen pada tahun ini telah berjaya membuat kutipan RM1 bilion setakat hari ini.
-- BERNAMA