Portfolio Exco Perak dijangka umum selewatnya Rabu ini
Bernama
Mei 21, 2018 12:12 MYT
Mei 21, 2018 12:12 MYT
Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dijangka mengumumkan portfolio 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) selewat-lewatnya Rabu ini.
Menurut Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim, seorang daripada Exco berkenaan, barisan Exco juga dijadualkan bermesyuarat buat pertama kali pada Rabu ini.
"... tetapi saya tidak pasti portfolio akan diumumkan pada Rabu atau lebih awal daripada itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat hal ehwal pentadbiran dan taklimat umum mengenai jawatan Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini hari ini.
Kesemua 10 Exco yang dilantik dan telah mengangkat sumpah jawatan pada Sabtu lepas, hadir mesyuarat tersebut yang dipengerusikan oleh Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan kerja-kerja Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Ghazali Jalal.
Sementara itu, seorang lagi Exco A. Sivanesan ketika ditemui berkata beliau akan menyelesaikan masalah rakyat yang tertangguh akibat perubahan kerajaan pada 2009.
"Saya antara Exco yang dilantik semula dari kerajaan 2008 dahulu, masih banyak kerja yang belum selesai pada 2008 dahulu antaranya isu berkaitan tanah iaitu hak milik kekal kampung baru dan kampung tersusun.
"Kita telah meluluskan pemberian hak milik kekal untuk kedua-dua pihak ini tetapi tidak diteruskan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas tumbang pada Februari 2009, jadi kita nak pastikan kali ini pengundi-pengundi di kampung baru dan kampung tersusun akan diberi hak milik kekal," katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lepas, Pakatan Harapan (PH) memenangi 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) namun berjaya membentuk kerajaan negeri selepas mendapat majoriti mudah 31 kerusi apabila dua wakil rakyat BN tampil menyatakan sokongan kepada PH.
Susulan itu, Ahmad Faizal yang memenangi kerusi DUN Chenderiang dilantik sebagai menteri besar Perak ke-12 dan mengangkat sumpah jawatan pada 12 Mei.
-- BERNAMA
#A Sivanesan
#Ahmad Faizal Azumu
#Barisan Nasional
#Exco
#Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim
#Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
#Menteri Besar
#mesyuarat
#Pakatan Harapan
#Perak
#pilihan raya umum
#portfolio
#PRU14
#Sivanesan