Portal UP_TVET mudahkan proses permohonan - Ahmad Zahid
Pia Ernadya
Mei 20, 2024 18:56 MYT
Mei 20, 2024 18:56 MYT
KUALA LUMPUR: Saluran permohonan untuk mengikuti kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dahulunya mengelirukan kini dipermudahkan kepada hanya satu saluran tunggal iaitu menerusi portal Unit Pengambilan TVET atau singkatannya UP_TVET yang dibangunkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, penggunaan saluran tunggal UP_TVET yang fleksibel dengan mengambil kira keperluan pelbagai syarat masuk merupakan satu inisiatif untuk membuka ruang seluasnya kepada rakyat Malaysia untuk menyertai program TVET.
"Salah satu ciri UP_TVET ialah institusi-institusi akan menawarkan kursus kepada calon dan calon juga berpeluang untuk mendapat lebih dari satu tawaran.. pada akhirnya, calon boleh memilih untuk bersetuju terima hanya satu tawaran sahaja," ketika memberi ucapan pada Majlis peluncuran system pengambilan UP_TVET pada Isnin.
Tambah beliau, UP_TVET ini juga menawarkan dua kategori permohonan iaitu Ambilan Perdana dua kali setahun (iaitu Ambilan Januari dan Ambilan Julai) dan Ambilan Sepanjang Tahun.
"Untuk makluman, sistem UP_TVET ini telahpun dilaksanakan bagi Ambilan Perdana Januari 2024 yang lalu bermula pada 30 Oktober 2023.
"Seterusnya, pelaksanaan UP_TVET bagi Ambilan Perdana Julai 2024 yang melibatkan semua institusi TVET di bawah tujuh Kementerian dengan 744 kursus ditawarkan dan permohonan bagi Ambilan Julai 2024 ini telah mula dibuka bermula 25 Mac 2024 dan akan ditutup pada 11 Jun 2024.
"Jumlah pengguna UP_TVET sehingga kini telah mencapai lebih 36,000," katanya lagi.
Tambahnya, pengambilan ini akan diperkukuhkan lagi dan pihaknya menjangkakan seramai 100,000 permohonan bakal diterima.
Selain UP_TVET, portal TVET Madani yang diwujudkan juga merupakan salah satu usaha untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan berkaitan TVET oleh kerajaan.
"Portal TVET Madani ini berfungsi sebagai pusat sehenti untuk mendapatkan maklumat berkaitan kursus-kursus TVET merentasi 12 Kementerian dan agensi swasta yang melaksanakan program TVET.
"TVET Madani juga akan menjadi platform pengurusan data raya TVET bagi pemusatan data berkaitan TVET dan dijangka akan selesai sepenuhnya pada tahun 2025," jelasnya.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia itu turut berpendapat bahawa persepsi masyarakat terhadap TVET yang dulu menganggap ia tidak standing dengan akademik kini sudah berubah akibat pendedahan melalui majlis-majlis dan juga penjelasan yang dibuat untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan TVET ini.
"Kita dapati bahawa kebolehpasaran graduan lulusan TVET ini melebihi 90 peratus dan secara tepat purata nasional adalah sebanyak 94.5 peratus (manakala) tahun lepas adalah 93.3 peratus.. ini (menunjukkan) satu pencapaian yang baik," ujarnya.