Portal rasmi Kerajaan Melaka, Tourism Melaka akan dilengkapi 'chatbot AI'
Bernama
Disember 27, 2024 04:50 MYT
Disember 27, 2024 04:50 MYT
MELAKA: Portal Rasmi Kerajaan Negeri Melaka dan Portal Tourism Melaka akan dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) melalui kemudahan chatbot, bagi meminimumkan masa tindak balas terhadap pertanyaan pelancongan tanpa terikat dengan waktu operasi pejabat, kata Exco Sains, Teknologi, Inovasi, dan Komunikasi Digital Negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.
Beliau berkata penggunaan teknologi AI ini bukan sahaja mempercepat komunikasi dengan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) dan Bahagian Komunikasi Korporat (BKK), tetapi juga memberikan sokongan lebih cekap dan berkesan.
Langkah ini sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh sistem penyampaian dalam talian kepada orang awam.
"Seiring dengan hasrat kerajaan untuk mempercepat penggunaan teknologi AI dalam sektor utama di Malaysia, Kerajaan Melaka turut mengambil langkah proaktif mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan awam dengan meneroka potensi AI melalui kemudahan chatbot AI.
"Kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK), dan BPP juga merancang untuk melaksanakan inisiatif Melaka AI Smart Heritage Tourism pada tahun hadapan. Pelaksanaannya kini berada di peringkat perincian dan perbincangan," katanya semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri semalam.
Fairul Nizam turut memaklumkan bahawa Muzium Hang Tuah di Hang Tuah Centre, Duyong, kini mencipta sejarah sebagai muzium pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi AI.
Teknologi tersebut digunakan untuk memaparkan kisah Laksamana Hang Tuah secara interaktif, memberikan pengalaman baharu kepada pengunjung.
"Pendekatan baharu ini bertujuan menambah nilai produk pelancongan negeri menerusi penggunaan AI dalam imej peragaan interaktif, yang membantu menyampaikan kisah dan sejarah berkaitan Hang Tuah kepada pengunjung," katanya menjawab soalan Datuk Zahari Abd Kalil (BN-Durian Tunggal) mengenai dasar kerajaan negeri berkaitan manfaat teknologi AI terutama bagi aspek pentadbiran, sosial dan ekonomi.
Katanya automasi melalui AI dapat mengurangkan kos operasi kerajaan serta meminimumkan pembaziran sumber seperti kertas, cetakan, masa, dan tenaga.
Beliau turut memaklumkan bahawa pada tahun hadapan, kerajaan negeri akan menyemak semula Blueprint Melaka Pintar 2035 (SMB2035) dengan menambah elemen dasar dan strategi baharu untuk menyokong pembangunan dan penggunaan AI dalam pentadbiran, sosial, dan ekonomi.
Menurutnya, adaptasi teknologi AI penting untuk memacu pertumbuhan ekonomi, menambah baik sektor sosioekonomi, meningkatkan keselamatan, dan memastikan Melaka kekal berdaya saing di peringkat global.
Beliau turut memaklumkan bahawa Pelan Pembangunan Data Raya Negeri Melaka 2035 (PPDR 2035), yang akan dilancarkan bulan ini, adalah komitmen jangka panjang kerajaan negeri untuk memastikan Melaka kekal di barisan hadapan revolusi data raya.
Pelan tersebut menggariskan strategi utama untuk memperkukuh infrastruktur digital, memperluas penggunaan AI, dan memaksimumkan manfaat teknologi data raya bagi pembangunan negeri yang mampan.
-- BERNAMA