Portal pertama ditubuh bantu pesakit kanser peroleh pekerjaan

Bernama
Februari 2, 2017 23:05 MYT
www.cancerfly.com akan menjadi portal pekerjaan pertama ditubuhkan di negara ini khusus untuk membantu pesakit kanser memperoleh pekerjaan. - Gambar cancerfly.com
www.cancerfly.com akan menjadi portal pekerjaan pertama ditubuhkan di negara ini khusus untuk membantu pesakit kanser memperoleh pekerjaan dengan mempamerkan produk atau perkhidmatan mereka kepada orang ramai.
Pengasasnya Dr M. Sri Ganesh berkata portal yang juga dikenali sebagai 'Cancerfly Employment Network' itu ditubuhkan hasil kerjasama antara Jabatan Radioterapi dan Onkologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia.
Melalui portal itu, beliau berkata pesakit kanser boleh menjana pendapatan dengan mengiklankan produk mereka atau memperoleh pekerjaan yang boleh dilakukan secara sambilan dari rumah.
"Menurut kajian 'ASEAN Costs In Oncology (ACTION)', kira-kira 48 peratus daripada pesakit kanser akan mengalami masalah kewangan dalam tempoh setahun setelah didiagnosis menghidap penyakit tersebut.
"Faktor yang menjadi penyumbang masalah kewangan ini juga disebabkan kehilangan pekerjaan, justeru penubuhan portal ini menjadi platform kepada mereka mencari peluang pekerjaan," katanya pada sidang media program 'Cancerfly Employment Portal and CanBazaar HKL 2017' di HKL, hari ini.
Dr Sri Ganesh berkata portal tersebut tidak hanya terhad kepada pesakit kanser malah bekas pesakit kanser yang ingin mencari pekerjaan juga boleh mengemukakan permohonan itu dengan melayari portal berkenaan.
Beliau berkata golongan tersebut wajar diberi peluang untuk menceburi bidang pekerjaan dan secara tidak langsung berupaya meningkatkan ekonomi negara.
"Mereka tidak seharusnya dipinggirkan daripada sektor pekerjaan dan stigma bahawa mereka (pesakit) lemah dan tidak mampu melakukan pekerjaan seperti golongan sihat, harus diubah," katanya.
Beliau turut menyarankan majikan daripada sektor awam dan swasta membuka peluang pekerjaan yang sesuai kepada pesakit kanser tersebut dengan mengambil bahagian dalam majlis perasmian 'Cancerfly Employment Portal and CanBazaar HKL 2017' yang akan diadakan pada 20 Feb ini.
"Setakat ini dua syarikat bersetuju menyertai majlis pelancaran itu dan menawarkan sesi temuduga, namun kami berharap lebih banyak lagi syarikat korporat dapat menyertai sesi temuduga tersebut," katanya.
-- BERNAMA
#action #Dr M. Sri Ganesh #HKL #www.cancerfly.com
;