Portal khas untuk warga Malaysia hilang kerja di luar negara

Aida Aziz
Ogos 8, 2020 20:58 MYT
SARAVANAN: Kementerian Sumber Manusia akan umumkan satu portal khas hari Isnin ini supaya mereka yang telah kehilangan peluang pekerjaan daripada luar negara boleh mendaftar. - Foto BERNAMA
Kementerian Sumber Manusia akan mengumumkan sebuah portal khas Isnin ini, khusus untuk membantu warga Malaysia yang hilang pekerjaan di luar negara, ujar Menterinya Datuk Seri M. Saravanan.
Menurut Saravanan, fungsi portal itu adalah untuk mengetahui jumlah sebenar warga Malaysia yang terkesan dan hilang peluang pekerjaan sebelum dibantu dengan program khas melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad.
"Kementerian Sumber Manusia akan umumkan satu portal khas hari Isnin ini supaya mereka yang telah kehilangan peluang pekerjaan daripada luar negara boleh mendaftar.
"Saya perlu tahu angka yang sebenar supaya kita dapat laksanakan program-program khas dan latihan untuk mereka melalui Pembangunan Sumber Manusia termasuk peluang-peluang lain.
"Saya belum ada angka yang jelas berapa ramai yang kembali dari luar negara dan telah kehilangan peluang pekerjaan akibat krisis kesihatan dan ekonomi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Go Pendidikan dan Latihan Vokasional (TVET) Orang Asli di Dewan Merdeka, di sini pada Sabtu.
Yang turut sama Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Jamil Rakon dan Pengerusi Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), Datuk Nelson Renganathan.
Dalam pada itu, katanya antara usaha kerajaan untuk membantu golongan yang dibuang pekerjaan adalah dengan membekukan pengambilan pekerja warga asing buat sementara waktu.
"Kita sedang memberi latihan kemahiran upskilling dan reskilling untuk golongan yang kehilangan pekerjaan selain menyediakan program insentif pengambilan pekerja melalui Perkeso.
"Untuk majikan yang mengambil pekerja tempatan, Perkeso akan bayar insentif untuk enam bulan. Ini adalah langkah-langkah yang kita buat untuk mengatasi masalah pengangguran," katanya.
Rabu lalu, Saravanan berkata kerajaan memberi jaminan membela nasib rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan di Singapura apabila syarikat di negara itu mula melakukan pembuangan pekerjja akibat terjejas COVID-19.
Katanya, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Kementeran Tenaga Manusia Singapura bagi membincangkan jalan penyelesaian terhadap kira-kira 400,000 pekerja Malaysiadi negara itu.
#hilang pekerjaan di luar negara #Kementerian Sumber Manusia #M Saravanan #Pembangunan Sumber Manusia Berhad #portal khas #TVET
;