Portal berita 'putar-belit' kenyataan saya di Rompin - Hasan

Bernama
Mei 5, 2015 15:46 MYT
HASAN: Portal berita itu juga cuba menjadi batu api di tengah-tengah kehangatan pilihan raya kecil Rompin yang pengundiannya ialah hari ini. -Gambar fail
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek menyifatkan tindakan sebuah portal berita yang memutar-belit kenyataan beliau semasa berkempen di Rompin baru-baru ini sebagai 'menangguk di air keruh'.
Katanya portal berita itu juga cuba menjadi batu api di tengah-tengah kehangatan pilihan raya kecil (PRK) Rompin, yang pengundiannya berlangsung hari ini.
"Sekiranya kenyataan saya diambil sepotong atau sekerat-sekerat sudah tentu ia akan menimbulkan satu kenyataan yang kurang senang dibaca.
"Dengan tajuk yang kononnya saya menyatakan bahawa pengundi Rompin boleh terima cukai barang dan perkhidmatan (GST) saya anggap ia adalah satu ‘spin’ (putar-belit) yang berniat jahat.
"Langsung dalam laporan berita itu tidak menyebut kenyataan saya dalam konteks sepenuhnya iaitu:
*Saya akui bahawa pada awalnya terdapat banyak kekeliruan dalam kalangan rakyat mengenai GST dari segi pelaksanaan. Malah saya juga akui ada kelemahan daripada pihak kerajaan dalam pelaksanaan khususnya pada permulaan pelaksanaan.
*Kekeliruan ini ditambah lagi dengan persepsi salah yang digembar-gemburkan oleh pihak tertentu.
*Namun kita dapati persepsi rakyat sudah mula teralih kepada tanggungjawab rakyat dalam menggunakan kuasa pengguna untuk memilih barangan serta perniagaan menawarkan harga yang baik.
*Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memandang isu ini dalam pandangan yang lebih positif memandangkan kementerian melancarkan pelbagai inisiatif seperti Pusat Gerakan Anti Pencatutan, aplikasi MyKira dan Ez-Adu serta penerbitan buku panduan harga.
*Kita mendapati pemahaman rakyat tentang GST itu adalah lebih baik dari mula-mula ia dilaksanakan kerana timbulnya kesedaran mengenai isu ini.
"Itu yang dimaksudkan penerimaan yang lebih baik.
"Tidak pernah saya menyatakan bahawa PRK Rompin sebagai satu tanda aras atau mandat rakyat untuk terima atau menyokong GST kerana keputusan undi bukan terletak pada satu isu semata-mata," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 3 Mei lepas, portal berita berkenaan memetik kenyataan Hasan bahawa beliau percaya pengundi-pengundi di kawasan Parlimen Rompin menerima baik pelaksanaan GST dan menyuarakan keyakinan Barisan Nasional (BN) akan memenangi PRK itu.
Hasan berkata sebelum ini, portal berita berkenaan juga memutar-belit kenyataan penuh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar menjadi sebuah cerita sensasi yang langsung tidak menggambarkan kenyataan sebenar.
"Mereka (portal berita) ini jugalah dalang yang sama memfitnah Majlis Raja-Raja Melayu dalam isu hudud dengan sesuka hati membuat laporan tanpa sumber atau rujukan sahih," kata Hasan.
#CBP #cukai #GST #Hasan Malek #KPDNKK #PRK #ropin
;