PORT mohon maaf insiden tarian ekstrem penonton, sifatkan ia di luar kawalan penganjur
Amirrul Rabbani
Ogos 25, 2023 11:20 MYT
Ogos 25, 2023 11:20 MYT
IPOH: People Of Remarkable Talents (PORT) memohon maaf atas adegan tarian segelintir penonton yang dirakam dalam satu video tular ketika penganjuran konsert Port Fest 2023 yang berlangsung dekat sini, hujung minggu lalu.
Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Mohamed Khairuddin berkata insiden ‘tarian ekstrem’ ketika sesi persembahan UBS Band pada Ahad lalu itu sesuatu yang bukan sengaja diatur serta berada di luar kawalan pihak penganjur.
“Pihak penganjur dengan ini memohon maaf sekiranya adegan tarian yang sedang ditularkan tersebut telah menyentuh sensitiviti sebahagian masyarakat.
“Kaedah untuk penganjuran konsert seterusnya sedang dikaji agar peristiwa sebegini dapat dielakkan pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu ujarnya Port Fest 2023 yang berlangsung selama dua hari bermula 19 Ogos lalu itu adalah festival untuk mengetengahkan pelbagai sisi seni kreatif dan budaya.
Menurutnya lagi, tujuan utama penganjuran acara berkenaan adalah sebagai usaha memberi pendedahan serta mengenengahkan lebih daripada 300 orang penggiat seni di Perak.
“Program PORT FEST 2023 berjaya menarik sekitar 20,000 orang pengunjung dan menjana manfaat kewangan sebanyak kira-kira RM450,000 menerusi jualan makanan, minuman dan produk seni kreatif, acara persembahan, pameran dan pertandingan, dan juga penyewaan penginapan,” tambahnya lagi.
Sebelum itu tular di media sosial rakaman video berdurasi kira-kira 1 minit memaparkan aksi tarian oleh sekumpulan penonton lelaki dan perempuan dipercayai remaja yang disifatkan kurang sopan dalam satu acara festival yang berlangsung di Dataran Ipoh, pada Ahad.
Video aksi tarian ‘step’ memaparkan segelintir penonton perempuan yang menari sambil dikelilingi beberapa penonton lelaki itu turut mengundang pelbagai pandangan warganet.
Selain itu, ia turut mengundang reaksi Pendakwah Bebas, Ustazah Asma' Harun yang meminta agar insiden sama tidak berulang selain perlu adanya pemantauan ketat oleh pihak berkuasa semasa acara sedemikian berlangsung.
“Tidak ada salahnya untuk diadakan apa jua festival, namun lihatlah baik dan buruknya. Letakkan garis panduan kawalan hiburan yang sewajarnya, tidak bercampur penonton lelaki dan perempuan, penampilan artis jemputan dijaga, tidak lalai tentang kewajipan kepada Allah SWT.
“Diakui Port Fest festival sebegini ia bagus kerana menghargai penggiat seni kreatif yang telah sekian lama berkarya dalam bidang seni.
“Waktu inilah kita dapat sama-sama menghargai hasil tangan mereka, bersua muka, bergambar dan lain-lain, namun tetap saja perlu dilihat acara yang termasuk di dalamnya,” katanya menerusi hantaran pada laman Facebook, pada Khamis.