'Port' khidmat urutan gadis di Bukit Bintang digempur
Sinar Harian
Julai 14, 2024 17:15 MYT
Julai 14, 2024 17:15 MYT
KUALA LUMPUR: Berselindung sebalik lokasi sesak dengan kehadiran pelancong dan kenderaan antara taktik kegiatan tidak bermoral yang dibongkar susulan serbuan di lima premis rumah urut dekat Bukit Bintang di sini pada Rabu lalu.
Operasi kira-kira jam 9.30 malam itu dijalankan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh berkata, seramai 56 warga asing berjaya ditahan dalam serbuan berkenaan.
Beliau berkata, seramai 91 individu yang terdiri daripada 20 lelaki dan 41 wanita warga asing serta 30 individu warga tempatan diperiksa dalam operasi ini.
"Hasilnya, 56 individu terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar, Thailand dan Sudan berumur di antara 20 hingga 50 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan.
"Selain itu, dua individu warga tempatan dipercayai bertindak sebagai penjaga premis turut ditahan dalam operasi ini," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, lokasi serbuan merupakan premis kedai dua tingkat dan berada di tengah pusat bandar.
"Semakan awal mendapati lokasi premis agak mencabar kerana laluan masuk ke kawasan premis sesak dengan kehadiran pelancong dan kenderaan.
"Keadaan ini sekali gus menyukarkan pergerakan pasukan operasi masuk ke sasaran, bagaimanapun ia dapat diatasi dengan persediaan awal yang dijalankan," katanya.
Menurutnya, serbuan dijalankan susulan aduan awam berhubung warga asing disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral.
"Kegiatan ini berselindung di sebalik perkhidmatan rumah urut di kawasan tumpuan pelancong tanpa memiliki pas dan dokumen pengenalan diri yang sah.
"Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya.
Ruslin berkata, kesemua individu ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
"Imigresen akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM)," katanya. - Sinar Harian