Populasi menua: Sarawak akan rangka skim insurans untuk kebajikan warga emas

Fadilah Sulaiman
Oktober 6, 2021 18:58 MYT
Abang Johari turut memaklumkan pembangunan taman perumahan mesra warga emas yang dilengkapi kemudahan penjagaan kesihatan juga mula dilaksanakan di bawah dasar perumahan negeri. FOTO: Astro AWANI
KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak kini merancang untuk merangka skim insurans bagi menyediakan bantuan kebajikan kepada warga emas sebagai persediaan menampung populasi menua yang dijangka meningkat dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, data daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan anggaran peningkatan populasi golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas sebanyak 15 hingga 20 peratus.
Situasi itu katanya, akan mengubah keperluan kebajikan masyarakat yang akan memberikan fokus kepada kesejahteraan warga emas yang mana memerlukan dana yang lebih.
“Oleh sebab perubahan demikian, Kerajaan Negeri Sarawak sekarang ini menerusi Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK), Datuk Seri Fatimah Abdullah dan pejabat kewangan sedang memikirkan bagaimana hendak menghadapi keadaan ini termasuk daripada aspek dananya.
“Sebab itu kita sekarang sedang memikirkan untuk menghasilkan formula skim insurans melalui instrumen terkini supaya kita sentiasa ada dana untuk menghadapi kos sara hidup bagi warga emas,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Ulang Tahun ke-10 KWKPK di Hotel Waterfront. Kuching pada Rabu.
Dalam pada itu, Abang Johari turut memaklumkan pembangunan taman perumahan mesra warga emas yang dilengkapi kemudahan penjagaan kesihatan juga mula dilaksanakan di bawah dasar perumahan negeri.
“Sebab itu dalam RMK-12 (Rancangan Malaysia Ke-12) di peringkat negeri kita mewujudkan taman perumahan di Kemuyang, Sibu serta Darul Hana dan Sungai Bedaun di Kuching.
‘’Kesemua projek ini masih dalam pembinaan dan ia sebagai projek perintis dan selepas itu ia menjadi dasar kita untuk menyediakan kemudahan rekreasi dan fasiliti penjagaan kesihatan kepada komuniti kita.
“Selain itu, kawasan perkampungan luar bandar yang dapat kita hubungkan dengan jalan raya juga akan kita wujudkan kemudahan yang serupa,” tambahnya.
Pada masa sama, Menteri KWKPK, Datuk Seri Fatimah Abdullah, turut memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan MyAgeing Institute, Universiti Putra Malaysia (UPM), bagi menambah baik dasar serta kemudahan dan perkhidmatan yang diberikan kepada golongan tersebut.
#warga emas di Sarawak #populasi menua di Malaysia #insurans warga emas #Abang Johari Tun Openg
;