Populasi Harimau Malaya tunjuk perkembangan positif - Nik Nazmi
Bernama
Februari 5, 2025 16:30 MYT
Februari 5, 2025 16:30 MYT
KUALA LUMPUR: Jumlah populasi Harimau Malaya (Panthera Tigris Jacksoni) di negara ini menunjukkan perkembangan yang positif, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.
Namun, beliau berkata jumlah sebenar haiwan berkenaan hanya akan diketahui selepas menerima angka rasmi daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
"Bancian terakhir (yang dilakukan terhadap Harimau Malaya) menunjukkan kurang daripada 150 ekor. Kita akan menunggu bancian rasmi untuk mendapat angka yang tepat, tetapi berdasarkan angka awal di lapangan yang diterima, terdapat perkembangan positif.
"Ia adalah hasil daripada tindakan penguatkuasaan yang dibantu oleh pertambahan Ranger Komuniti. Namun populasi Harimau Malaya masih kekal berisiko dan memerlukan perlindungan berterusan," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), di sini, hari ini.
Pada 12 Nov lepas, Nik Nazmi berkata NRES terus komited untuk melindungi dan memulihara Harimau Malaya bagi memastikan spesies ikonik yang menjadi simbol Jata Negara tidak pupus.
-- BERNAMA