Ponteng kerja antara faktor popular penjawat awam kena tatatertib

Sinar Harian
Mei 22, 2023 16:19 MYT
Zainal Rahim berkata, pada tahun lalu, seramai 14 penjawat awam telah digantung kerja manakala 28 yang lain dikenakan hukuman tahan kerja. - Gambar/ Sinar Harian
PUTRAJAYA: Ponteng atau gagal hadir bertugas antara faktor popular seorang penjawat awam dikenakan tindakan tatatertib termasuk digantung dari perkhidmatan awam.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, pada tahun lalu, seramai 14 penjawat awam telah digantung kerja manakala 28 yang lain dikenakan hukuman tahan kerja.
"Ada yang gagal hadir bertugas berhari-hari, bulanan malahan ada juga kes cuti tahun tanpa diketahui," katanya pada majlis SPA bersama media di sini pada Isnin.
Ujar beliau, perkara tersebut tidak sewajarnya berlaku kerana setiap ahli perkhidmatan awam telah dibekalkan dengan tatacara.
"Harus ingat, kita ada tindakan tatatertib yang pelbagai termasuklah hukuman dikenakan, jadi mereka tidak terlepas dari hukuman," kata Zainal.
Menurutnya, SPA akan bertindak selepas kes tatatertib dibawa oleh ketua jabatan atau lembaga tatatertib setiap kementerian.
"Selalunya hukuman rendah adalah amaran diikuti turun pangkat atau dibuang kerja sekiranya melakukan kesalahan.
"Jika disabitkan oleh mahkamah, kita akan buang," katanya.
Selain digantung dan ditahan kerja, seramai 51 penjawat awam berdepan dengan tindakan tatatertib tahun lalu.
Sebanyak 498 kes rayuan tatatertib turut direkodkan tahun sama.
Zainal berkata, setiap permohonan penjawatan perkhidmatan awam akan melalui proses tapisan keselamatan polis.
"Selain itu tapisan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut dilaksanakan bagi memastikan hanya calon yang benar-benar bersih melepasi temu duga," katanya.
Statistik tindakan tatatertib menunjukkan penurunan selama tiga tahun berturut-turut dengan 117 orang berdepan dengan tindakan itu pada tahun 2020 dan 83 individu pada tahun seterusnya.
Bagaimanapun hukuman gantung kerja meningkat apabila sembilan orang dilaporkan pada tahun 2020, (10) 2021 dan (14) 2022.
Sementara itu mengulas mengenai laporan pengabaian 500 aduan salah laku oleh SPRM baru-baru ini, Zainal berpendapat ia sepatutnya diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tindakan.
Ini kerana katanya, JPA mempunyai jawatankuasa khas yang memantau Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan bahawa beberapa agensi kerajaan mengabaikan lebih 500 laporan salah laku kakitangan mereka, walaupun pihaknya mengesyorkan untuk mengambil tindakan. - Sinar Harian
#ponteng kerja #penjawat awam #Zainal Rahim Seman #SPA
;