Ponggal: Ini enam perkara yang anda perlu tahu
Umavathi Ramayah
Januari 14, 2023 10:20 MYT
Januari 14, 2023 10:20 MYT
KUALA LUMPUR: Pesta Ponggal atau pesta menuai disambut masyarakat India di seluruh negara pada hari pertama bulan Thai mengikut kalender Hindu.
Ia adalah sebagai tanda kesyukuran terhadap hidupan dan alam semula jadi yang memberi rezeki dalam kehidupan seharian.
Ponggal merupakan perayaan kedua terbesar selepas Deepavali yang didedikasikan kepada salah satu daripada lima Pancha Bhoota (elemen fizik) menurut agama Hindu.
Lima Pancha Bhoota mengikut Sanskrit adalah Prithvi (bumi), Apas (air), Agni (api), Vayu (udara) dan Akasha (langit).
Perayaan Ponggal secara tradisi ditasbihkan kepada Dewa Surya (matahari), yang sinonim dengan elemen api, sebagai tanda berterima kasih untuk hasil tuaian yang baik dan mengabadikan tuaian pertama kepada Dewa Matahari.
Ini enam perkara yang anda perlu tahu mengenai Ponggal.
1. Pesta Ponggal
Perayaan ini disambut pada permulaan bulan Thai dalam kalender Tamil. Kebiasannya ia akan jatuh pada pertengahan bulan Januari. Ia dikatakan menandakan permulaan 'Uttarayana', iaitu pergerakan matahari ke utara.
Ponggal bukan sahaja disambut di Selatan India, sebaliknya perayaan itu disambut di wilayah India yang lain dengan panggilan berbeza. Misalnya di wilayah Utara India, ponggal dikenali sebagai Bhogali Bihu, Lohri (Punjab), Bhogi (Andra Pradesh) dan Makar Sakranti (Karnataka, bengal dan Biha). Apa-apapun, ia membawa maksud yang sama.
Ponggal dalam bahasa Tamil bererti 'melimpah-ruah'. Susu yang melimpah apabila dipanaskan dalam periuk belanga tanah liat melambangkan kekayaan, kebaikan dan kebahagian yang melimpah ruah. Jika di India, pesta Ponggal disambut lebih meriah berbanding Deepavali.
Ponggal disambut selama empat hari bermula dengan Bhogi, setiap hari mempunyai kepentingan dan amalannya sendiri.
Hari pertama sambutan adalah Ponggal rumah, hari kedua pula Ponggal untuk binatang ternakan seperti lembu, iaitu bagi menyatakan terima terima kasih kepada haiwan yang membantu petani dalam aktiviti pertanian serta berkongsi susunya dengan manusia. Pada hari ini, lembu diberi rehat dan tidak perlu ke sawah.
Hari ketiga dipanggil sebagai Kaanum Ponggal atau Kanni Ponggal. Hari ketiga dikhaskan kepada gadis-gadis yang belum berkahwin.
2. Bhogi
Ponggal dimulakan dengan Bhogi, iaitu sehari sebelum kedatangan bulan Thai. Bhogi membawa maksud cukup signifikan, ia menandakan permulaan penting dalam kehidupan masyarakat India.
Seluruh rumah dibersihkan dan barang lusuh dibuang atau dibakar, bagi menyingkir 'anasir-anasir negatif'. Ikoniknya upacara itu melambangkan membuang pemikiran yang tidak baik dan memberi ruang kepada yang positif.
3. Hiasan di pintu
Pintu rumah diikat dengan tebu, daun mangga dan 'thooranam' yang dibuat menggunakan lepah pokok kelapa. Tebu menandakan kemanisan, daun mangga melambangkan kesejahteraan dan thooranam pula dianggap membawa tuah dan sering dikaitkan dengan upacara suci.
4. Kolam
Satu lagi aspek penting pada Ponggal adalah kolam, dekorasi tradisional itu dilukis menggunakan tepung beras di hadapan rumah. Lukisan ini selalunya dilakukan pada awal pagi dan hanya selepas mandi.
Lazimnya kolam dilukis menggunakan tepung beras, kerana kolam itu akan menjadi makan kepada serangga seperti semut.
Sebenarnya, sebulan sebelum ketibaan Ponggal, iaitu sepanjang bulan Marghazli masyarakat India akan menghiasi rumah mereka dengan lukisan kolam.
5. Ponggal
Ponggal ialah nama sejenis makanan yang disebut sebagai nasi manis. Ponggal diperbuat menggunakan beras, susu, gula melaka, buah gajus, buah pelaga, kismis dan minyak sapi. Tempoh penyediaan ponggal adalah antara 30 dan 40 minit.
Ponggal dimasak secara tradisional menggunakan periuk tanah liat, sehingga ia melimpah keluar. Perbuatan membiarkan masakan ini melimpah dikenali sebagai Ponggal dalam bahasa Tamil.
Ketika susu melimpah, ungkapan ‘Ponggal O Ponggal, Ponggal O Ponggal, Ponggal O Ponggal’ disebut sebanyak tiga kali, sebagai menyambut permulaan yang baik. Nasi yang dimasak itu akan disembahkan kepada Tuhan Matahari, juga dikongsi dengan sanak-saudara dan haiwan ternakan.
6. Ponggal bukan perayaan keagamaan
Perayaan ini tiada signifikan agama sebaliknya sambutan ini adalah bagi menyatakan kesyukuran kepada alam sekitar dan hidupan, sama seperti pesta menuai.
Ia juga simbolik kepada permulaan bulan Thai, yang dianggap bulan mulia. Ada ungkapan yang sering diucapkan mengaitkan bulan ini seperti 'Thai Pirandhal Vazhi Pirakkum’ bererti permulaan Thai membuka peluang baharu.'
Di India, Ponggal bukan sahaja disambut oleh masyarakat Hindu malah pelbagai kaum dan etnik. Perayaan itu sebenarnya menandakan berakhirnya musim menuai dan menandakan kejayaan atau kemakmuran yang melimpah.