Politik tarian kuda
Ali Alimin
Februari 5, 2013 06:23 MYT
Februari 5, 2013 06:23 MYT
Jika disebut Park Jae-sang, pasti ramai yang geleng kepala. Tapi jika Psy, semua senyum ternganga membayangkan tarian Gangnamnya.
Begitu sekali pengaruh yang dibawa lelaki berusia 36 tahun ini. Mana tidaknya, dengan hanya memperkenalkan tarian kuda, Psy mencetus fenomena dunia. Di YouTube klip videonya mencatat rekod. Sehingga artikel ini ditulis jumlah yang menonton klip berkenaan hampir mencecah 1.3 bilion, satu sejarah dalam YouTube.
Kejayaan ini tidak henti di situ sahaja. Tuah bekas pelajar Kolej Muzik Berklee diteruskan apabila diangkat sebagai artis berpengaruh melalui anugerah Viral Star of 2012. Sebut sahaja Gangnam, pasti semua tahu. Peminat, artis, ahli sukan malah orang kuat Pertubuhan Bangsa Bersatu, Ban Ki Moon sendiri kagum dengan artis ini.
Begitu hebatnya pengaruh artis ini. Hebat hingga semua pihak berebut mahu menganjurkan persembahannya. Paling baru, Psy diberitakan akan membuat persembahan di Pulau Pinang. Berita ini pasti menggembirakan peminatnya. Dapat menari kuda bersama pencipta asal tarian cara Gangnam ini.
Tapi timbul pula masalah lain. Bukan kerana membawa Psy… silapnya persembahan Psy ini dikaitkan dengan sebuah parti politik. Persembahan beliau dijadualkan sebagai acara kemuncak sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Kebangsaan di negeri Pulau Mutiara itu pada 11 Februari ini. Ironinya, sambutan ini diadakan di Pulau Pinang yang diterajui parti DAP - sebuah parti pembangkang di peringkat Persekutuan. Ia sekaligus, mahu atau tidak, pasti dikaitkan dengan politik. Timbul propaganda politik, persembahan Psy dibiayai dengan wang rakyat. Meskipun tidak dinyata bayaran yang dikenakan.
Namun, Psy pernah dilapor meletakkan harga RM2.3 juta untuk mengadakan persembahan. Dakwaan itu telah dijawab bahawa kos persembahan Psy ditaja sebuah syarikat swasta, perang persepsi telah digerakkan. Sudah pasti ia akan menjadi beban kepada kerajaan Barisan Nasional (BN). Lebih-lebih lagi tarikh pilihan raya yang makin hampir.
Beban politik?
Malang buat Psy. Beliau yang langsung tidak tahu menahu rentak politik negara ini terpaksa berdepan dengannya. Dek kerana pengaruhnya, Psy didakwa secara sedar atau tidak telah jadi alat meraih sokongan pengundi terutama golongan muda. Satu lagi peluru perang persepsi. Dakwaan itu terus disanggah. Sebaliknya persembahan Psy nanti menurut jurucakap parti Gerakan – parti komponen dalam Barisan Nasional, tidak lebih sekadar satu hadiah tahun baru. Terima atau tidak penjelasan itu, sukar diramalkan.
Namun bersediakah BN dengan satu lagi dakwaan bermotif politik itu? Atau perlukah BN fikir kembali hasrat membenarkan Psy membuat persembahan pada majlis sambutan itu nanti? Mungkin saranan ini perlu diambil serius. Tidak rugipun membatalkan persembahan Psy pada hari itu. Lagi baik jika isu ini dibendung terlebih dahulu sebelum ia jadi bahan politik ketika Pilihan Raya Umum ke 13 nanti. Malah beliau sendiripun kita tidak tahu meraikan Tahun Baru Cina atau tidak.
Malah industri seni tanah air tempatan pun tidak mendapat manfaat secara langsung daripada Psy ini. Bukannya adanya perkongsian teknologi, forum cambah idea dan sebagainya yang dapat dikongsi oleh artis antarabangsa ini, tapi aliran keluar duit yang berlaku. Bak kata orang ekonomi, tiada pulangan pelaburan diperolehi. Nak harap Psy promosikan Malaysia hanya kerana beliau pernah membuat persembahan di negara ini, entah berlaku entahkan tidak.
Seniman juga telah beri pendapat menolak undangan persembahan kepada Psy itu. Jika benar kosnya mencecah jutaan ringgit, alangkah baiknya jika syarikat swasta yang bermurah hati itu menawarkannya kepada artis tempatan. Bukan tidak ada yang lebih bagus tapi ramai. Malah mereka lebih patriotik dan memahami budaya tempatan.
Apa-apa pun, pihak yang berkaitan bijaklah membuat keputusan. Ambil kira sensitiviti dan rasa hati semua golongan. Ada yang gembira dan ikhlas mahu berhibur, ada juga yang terasa kerana orang luar dibayar tinggi dan ada juga yang nampak ini peluang serangan politik.
Jangan kerana dek tarian kuda cara Gangnam ini kita bercakar sesama sendiri.