Politik stabil, dasar jelas penting untuk ekonomi berkembang maju - PM Anwar

Bernama
November 15, 2023 05:15 MYT
Anwar ketika sesi soal jawab pada Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik ke-30 di San Francisco, 15 Nov 2023. - Foto ihsan APEC CEO Summit
SAN FRANCISCO: Kestabilan politik amat penting tetapi dasar yang jelas adalah sama penting bagi mana-mana ekonomi untuk berkembang maju, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Beliau berkata walaupun dasar yang jelas dan konsisten adalah diperlukan, pelaksanaan dasar yang berkesan turut memainkan peranan penting untuk menarik pelabur.
"Justeru, sudah tentu, pelaksanaan yang berkesan. Kita semua bercakap mengenai kemudahan menjalankan perniagaan," katanya pada sesi soal jawab pada Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-30 bertajuk "The Global Economy and State of The World," di sini pada Rabu.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata demikian apabila ditanya mengenai instrumen yang paling penting bagi pemimpin politik daripada ekonomi sederhana untuk bekerjasama dengan komuniti perniagaan mereka dan dalam kerjasama ekonomi dalam kalangan rakan dan rakan kongsi mereka di rantau Asia Pasifik.
"Kita semua bercakap mengenai agensi sehenti. Agensi sehenti tidak bermakna ia berhenti di situ sahaja. Ini bermakna anda perlu memudahkan dan mempercepatkan proses dengan prosedur dan dasar yang jelas," katanya.
Menurut Anwar, Malaysia amat bertuah kerana telah menarik pelaburan dari China, Amerika Syarikat (AS), Eropah dan juga dari rantau ini yang mengatasi jangkaan.
"Maksud saya, (pelaburan) adalah besar dan ini menunjukkan keyakinan sektor swasta dari segi kita menetapkan dasar dan kita menjalankan perniagaan," katanya, sambil menambah tadbir urus yang baik di bawah pentadbirannya telah membawa kepada aliran masuk pelaburan.
Anwar berkata sesebuah negara perlu terus tegas dalam melaksanakan dasar dan menangani rasuah, terutamanya mengenai cara menjalankan perniagaan yang membazirkan dana awam untuk menjadikan mereka yang berkuasa lebih kaya.
Beliau menegaskan bahawa beliau telah menjelaskan pendiriannya dalam soal rasuah.
"Saya telah menyatakannya dengan amat jelas. Saya berpendapat kami berada di landasan yang tepat untuk memacu ekonomi negara dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
"(Kami) amat komited dan saya fikir berdasarkan kenyataan itu, dalam tempoh enam, tujuh bulan akan datang, kami dapat mencapainya (sasaran pertumbuhan ekonomi)," katanya.
Perdana Menteri turut mengambil peluang menarik pelabur untuk melabur di Malaysia dan ASEAN.
"Malaysia dan ASEAN adalah destinasi yang paling stabil dan berdaya maju untuk melabur dan saya berharap dapat bertemu anda secara individu di Malaysia," katanya.
Anwar tiba di sini pada Isnin (13 Nov) untuk Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-30 dari 14 hingga 17 Nov, merupakan lawatan sulungnya untuk mesyuarat rasmi sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Beliau diiringi oleh isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan pegawai kanan kerajaan yang lain.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim
;