Politik perkauman tiada akhirnya - bekas Pengerusi SPR
Teoh El Sen
Mei 9, 2013 18:29 MYT
Mei 9, 2013 18:29 MYT
Isu politik perkauman di Malaysia tidak akan hilang walau apa pun usaha yang kita lakukan untuk mengubahnya, kata bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.
Beliau mengulas cadangan dikemukakan hari ini agar pengundi hanya boleh dikategorikan mengikut umur dan jantina dan tidak mengikut kaum masing-masing.
“Politik perkauman di negara ini telah lama wujud, ia akan berterusan sampai bila-bila” kata Abdul Rashid.
Cadangan untuk mendesak SPR menghapuskan data pengundi diilhamkan oleh Pas hari ini.
“Sudah tiba masanya SPR membuat rombakan dengan mengeluarkan pecahan pengundi mengikut umur atau jantina sebagai data rasmi untuk diedarkan pada media dan orang awam” kata Ketua Penerangan PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Walaubagaimanapun, Abdul Rashid mengesahkan bahawa SPR tidak mengeluarkan data itu secara rasmi dan statistik kaum ini kebiasaannya dibuat oleh pihak ketiga.
“Biasanya SPR tidak buat begitu. Walaupun saya rasa pihak yang mencadangkan perkara ini mempunyai niat baik untuk mewujudkan Malaysia yang lebih menyeluruh, namun lumrahnya kalau pun perkara ini direalisasikan, parti-parti politik akan terus membaca pengundi mengikut kaum mereka” kata Abdul Rashid.
Sementara itu, seorang ahli pergerakan Bersih 2.0 berkata adalah baik untuk mengeluarkan data bangsa dari data pengundi dan ia juga sepatutnya dilakukan pada data rasmi kerajaan yang lain.
“Saya rasa kita perlu kurangkan klasifikasi kaum. Ini akan menjadikan masyarakat Malaysia kurang menumpukan perhatian pada aspek kaum. Kita perlu bergerak jauh dari itu” kata Andrew Khoo.
“Dalam apa juga borang yang kita isi, kita perlu timbang kembali adakah maklumat kaum (dalam borang tersebut) itu penting atau tidak.
“Kita perlu lari dari isu klasifikasi kaum. Kita perlu mencabar orang ramai untuk berfikir. Adakah wajar untuk kita terlalu memberi tumpuan tentang perkara ini?
“Dasar-dasar kerajaan harus mencerminkan keperluan sebenar dan bukanlah dilihat semata-mata berdasarkan profil kaum. Jika SPR boleh memulakan dengan mengeluarkan kategori bangsa, itu adalah permulaan yang baik” kata Andrew lagi.
Untuk kumpulan pemikir Islam dari Islamic Renaissance Front (IRF) pula, pengecualian statistik berdasarkan sesuatu kaum tidak banyak memberi impak.
Ahli penyelidik IRF, Ahmad Fuad Rahmat berkata bahawa masalah perkauman timbul hanya apabila retorik perkauman tidak dibendung oleh pihak berkuasa.
"Bagi saya, bukanlah satu isu besar mengenai apakah bangsa jiran kita. Demografi sudah berubah pada masa kini, orang Melayu tidak hanya mengundi calon-calon Melayu. Masyarakat Malaysia sudah bijak."
Keputusan PRU13 menyaksikan sebahagian besar pengundi Cina beralih arah kepada pembangkang, dan ini digelar sebagai "Tsunami Cina" oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Pada Selasa, akhbar Utusan Malaysia telah menerbitkan artikel yang bertajuk 'Apa lagi yang orang Cina mahu?'.
Utusan dikritik kerana tajuk artikel tersebut namun dipertahankan oleh Najib yang menyalahkan DAP kerana mengelirukan masyarakat Cina dan menyebabkan isu perkauman dibangkitkan.