Politik Perak: Sultan Nazrin perkenan peletakan jawatan Ahmad Faizal

Harits Asyraf Hasnan
Disember 6, 2020 01:46 MYT
Pada Sabtu, Ahmad Faizal menyembah maklum kepada Sultan Nazrin Shah kedudukannya sebagai Menteri Besar Perak telah terjejas secara langsung. --fotoBERNAMA/Fail
IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak semalam.
Datuk Pengelola Bijaya DiRaja Datuk Abd Rahim Mohamad Nor berkata, dalam sembah maklumnya, Ahmad Faizal mengakui kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Perak telah terjejas secara langsung.
Ia berdasarkan peruntukan Fasal (1) Perkara XII dan perenggan (a) Fasal (2) perkara XVI (6), Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.
“Duli Yang Maha Mulia menzahirkan titah terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Seri Ahmad Faizal yang telah melaksanakan tugas Menteri Besar sejak 12 Mei 2018, setelah mendapat perkenan Baginda dua kali mengangkat sumpah jawatan, kali pertama pada 12 Mei 2018, dan kali kedua pada 13 Mac 2020.
“Baginda turut menzahirkan titah terima kasih kepada semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan atas perkhidmatan yang telah diberikan dalam tempoh perkhidmatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Sultan Nazrin menerima menghadap Ahmad Faizal yang juga merupakan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Chenderiang, pada jam 3 petang di Istana Kinta di sini.
Ia susulan Menteri Besar Perak ke-13 itu kehilangan sokongan majoriti dalam usul undi percaya semasa berlangsungnya Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga, Dewan Negeri yang bersidang 4 Disember lalu.
BACA: LAPOR LANGSUNG: 'Saya telah cuba melakukan yang terbaik' - Faizal Azumu umum letak jawatan
#Sultan Nazrin Shah #Sultan Perak #Menteri Besar #ADUN #letak jawatan #Ahmad Faizal Azumu #kedudukan terjejas #sokongan majoriti