Politik Melaka: KKM tunggu keputusan Kabinet esok sebelum tentukan SOP PRN - Khairy
Firdaus Azil
Oktober 7, 2021 17:32 MYT
Oktober 7, 2021 17:32 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menunggu keputusan Kabinet pada Jumaat, sebelum memutuskan prosedur operasi standard (SOP) yang bersesuaian untuk pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, perbincangan di peringkat Kabinet perlu memandangkan pelaksanaan PRN itu bukan sahaja melibatkan faktor kesihatan, bahkan perundangan dan Perlembagaan.
Jelas beliau lagi, KKM komited untuk menghasilkan apa sahaja SOP yang diperlukan, namun tetap tertakluk kepada keputusan Kabinet pada Jumaat.
“Untuk PRN Melaka, KKM telah bentangkan pendirian semalam, di mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pandemik COVID-19, dan kita akan bincang sekali lagi, pada mesyuarat Kabinet esok (Jumaat).
“… dan ini oleh kerana ia melibatkan bukan saja faktor kesihatan, tapi perundangan dan Perlembagaan, (jadi) kita ambil maklum apa saja keputusan Jemaah Menteri, dan KKM akan sediakan apa saja SOP yang diperlukan sekiranya (isu) berterusan, atau kalau tak berterusan, kita ada masa (untuk hasilkan SOP yang sesuai),” katanya lagi.
Pada 4 Oktober lepas, media melaporkan pengumuman Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh tentang pembubaran DUN Melaka Penggal ke-14, susulan Ketua Menterinya Datuk Seri Sulaiman Md Ali telah hilang majoriti sokongan.
Namun beberapa pihak, khususnya rakyat Melaka menzahirkan kebimbangan tentang kemungkinan penularan kembali COVID-19 sekiranya PRN diadakan.
Sehingga Khamis, negeri itu telah Melaka mencatatkan 200 kes positif COVID-19 dengan 88.5 peratus populasi dewasa di negeri itu telah lengkap vaksinasi.
Dalam pada itu, Khairy berkata, KKM akan menggerakkan program outreach di Sabah, bagi memastikan kadar vaksinasi populasi dewasa dapat ditingkatkan di negeri itu, dan tidak ketinggalan dengan negeri-negeri lain.
“Semua negeri akan diunjurkan sampai ke 80 peratus vaksinasi lengkap populasi dewasa pada bulan Oktober, dan hanya satu negeri saja yang kita unjurkan ada sedikit masalah iaitu Sabah.
“Dan saya pun telah berhubung dengan Pengarah Kesihatan Negeri, untuk pertingkatkan lagi program outreach, sebab kita dapati di Sabah, saya dapat laporan, yang datang ke PPV (Pusat Pemberian Vaksin) dari segi orang dewasa dah tak ramai.
“Sebab itu di Sabah kita kena usahakan, dan sumber yang ada pada kita, mesti digunakan untuk gerakkan outreach ini,” katanya lagi.