Politik Malaysia sudah gila - Tan Keng Liang

Ashwad Ismail
Jun 19, 2015 17:59 MYT
Akaun Twitter Tan Keng Liang pernah digantung kerana terdapat banyak akaun salinan yang menggunakan namanya. - Foto Astro AWANI
Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang bukan individu yang asing di media sosial terutamanya di Twitter. Beliau seorang yang cukup aktif di Twitter. Hampir setiap hari, dan hampir dalam semua isu politik, beliau yang menggunakan akaun @tankengliang akan memberikan komentarnya dan komen-komennya itu selalu menarik perhatian orang.
Baru-baru ini Twitter menggantung akaunnya. Puncanya, ada beberapa akaun palsu yang menggunakan nama ahli politik itu dan akaun beliau yang asli ikut sama digantung oleh Twitter.
"Semua sama seolah-olah macam saya yang tweet bermacam-macam isu sampai satu tahap pihak terlibat hanya 'copy & paste' tweet saya," katanya dalam satu temubual bersama Astro AWANI.
Dalam temubual itu, Keng Liang turut menyentuh tentang kemelut antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau juga mengupas tentang masalah Barisan Nasional, BN untuk menarik minat orang muda.
Berikut antara intipati temubual:
Macam-macam krisis politik di Malaysia:
Politik Malaysia sudah gila. Masyarakat jadi semakin celaru sebab terlampau banyak politik. Pada pandangan saya, Malaysia mungkin tidak pernah mengalami politik sebegini sebelum ini. Apabila mereka jadi celaru, masyarakat akan berbalik kepada asas iaitu lokaliti; siapa yang mewakili mereka, calon dan parti yang memperjuangkan kawasan masing-masing.
Penjajaran semula politik tanah air:
Pakatan Rakyat yang sebenarnya sedang melalui penjajaran semula politik. DAP cakap PR berpecah, PAS cakap PR pengsan, PKR cakap tidak berpecah. Di Selangor, Azmin Ali ialah Menteri Besar minoriti. Tapi ini tidak bermakna BN boleh selesa.
Kemelut Najib-Tun M:
Ia jadi semakin personal. Apabila isu jadi semakin bersifat peribadi, lebih baik ia diselesaikan secara tertutup. Kita bercakap tentang hubungan dua pemimpin hebat dari dua era berbeza. Kedua-duanya perlu bertemu.
1MDB barah kepada BN:
Perlu diselesaikan dengan segera untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat. Setakat ini, saya berpuas hati dengan penjelasan mengenai 1MDB.
BN tidak cukup seksi:
Barisan Nasional tidak cukup seksi dan trendy untuk menarik minat anak muda secara menyeluruh. Perlu laksana banyak lagi perubahan. Takkan nak harapkan Khairy Jamaluddin sahaja sebagai ikon untuk menarik anak muda kepada BN.
Khairy Jamaluddin bakal PM Malaysia:
Buat masa sekarang, ramai anak muda melihat Khairy Jamaluddin mempunyai kualiti untuk jadi PM. Sama seperti orang Kedah melihat kualiti yang ada pada Mukhriz.
GST, memang perit tetapi perlu:
Masyarakat sangat tidak berpuas hati. Tetapi, inilah kebenarannya. Ia adalah cukai yang bagus untuk masa depan Malaysia. Tetapi sekarang memang memeritkan. Kami ahli politik, perlu bercakap mengenai kebenaran bukan janji palsu. Inilah kebenarannya mengenai GST.
Strategi politik kotor di media sosial:
Baru-baru ini akaun twitter saya disekat gara-gara kewujudan enam akaun palsu yang guna identiti saya. Ini bagi saya, taktik politik terbaru di media sosial. Mungkin untuk mencemarkan nama baik saya melalui tweet yang menyentuh pelbagai perkara sensitif.
#1MDB #BN #GST #Khairy Jamaluddin #Mahathir Mohamad #Mukhriz Mahathir #Najib Tun Razak #Tan Keng Liang
;