Politik kaum, agama tindakan memalukan, menyedihkan - Jerald Joseph

Astro Awani
Julai 10, 2023 19:07 MYT
Jerald Joseph menegaskan dalam dunia moden, tindakan parti politik memainkan isu kaum dan agama adalah perkara yang memalukan dan menyedihkan. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Enam dekad lepas sehingga tahun 2018, politik berteraskan kaum dan agama mungkin menjadi senjata sesetengah parti.
Begitupun, menurut Pengarah Pusat Komas, Jerald Joseph, dalam dunia moden, tindakan parti politik memainkan isu kaum dan agama adalah perkara yang "memalukan dan menyedihkan".
Tegasnya, individu mungkin boleh menang dengan memainkan sentimen begitu, namun adakah dia bersedia untuk menerima kesannya akibat dari ‘perpecahan’ yang digerakkan mereka.
Hentikan ancaman kedudukan kaum Melayu - Sister in Islam
“Adakah mereka tidak dapat menawarkan konsep baharu atau program untuk menjayakan Malaysia atau tiadakah kad laporan, menceritakan apakah yang mereka lakukan.
“Mengapa tidak cerita kesukaran dihadapi Malaysia? Itulah yang akan memastikan kamu akan dipilih atau tidak.
“Adakah mereka tidak yakin dengan calon mereka, parti mereka sampai ke permainan yang cukup tradisional ini?
Polis siasat Abdul Hadi
“Ini memang dah zaman beratus tahun. Siapa yang angkuh, dia memang; siapa yang besar, parti dia menang,” katanya dalam program Pantau Kerajaan Baharu di Astro AWANI pada Isnin.
Tambahnya, parti politik perlu berhenti memainkan politik sebegitu kerana memberi kesan negatif kepada negara.
“Cukuplah main politik agama dan kaum, api-apikan kaum dan agama. Mungkin senang nak dapat penyokong tapi tak perlulah kita gunakan cara sebegitu.
“Kamu akan diingati dalam sejarah Malaysia sebagai orang yang perlekehkan orang lain,” ujarnya.
Polis siasat Lim Guan Eng berhubung isu 3R
Katanya lagi, demokrasi Malaysia juga akan tergendala dengan sentimen sebegitu kerana rakyat lebih terpengaruh untuk memilih satu kelompok orang sahaja.
Tegasnya, rakyat Malaysia tidak harus takut antara satu sama lain kerana selagi perasaan itu ada, selagi itulah Malaysia tidak akan maju.
“Kita tidak akan melihat isu kewibawaan, isu kualiti, isu polisi, sebab kita terpengaruh dengan…tidak mengapalah dia tak boleh jadi ahli politik pun, parti dia tak boleh pakai tapi kita pilih dia sebab dia ‘geng’ kita.
“Itu bahaya kerana demokrasi adalah berikan peluang kepada kamu, berani untuk pilih A, pilih B, nak tukar ke C pun boleh tapi bukan sebab kami rasa identiti agama kamu akan hilang.
“Apa nak ditakutkan, Malaysia ini satu-satunya atau mungkin satu atau dua negara di dunia, yang majoriti itu diberikan pertolongan, diskriminasi positif,” katanya.
#politik kaum #politik agama #isu 3R #Jerald Joseph
;