Politeknik Port Dickson diiktiraf institusi TVET terbaik Asia Pasifik - Ahmad Zahid
Bernama
November 10, 2024 14:00 MYT
November 10, 2024 14:00 MYT
KUALA LUMPUR: Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan diiktiraf sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terbaik di Asia Pasifik oleh Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pengiktirafan platinum yang diterima itu amat membanggakan kerana APACC adalah badan akreditasi yang dihormati di rantau Asia Pasifik khususnya dalam bidang TVET.
"Pengiktirafan daripada APACC bukan sahaja melambangkan kualiti dan keunggulan pendidikan yang ditawarkan, tetapi juga membawa makna bahawa standard institusi kita kini diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berharap agar pencapaian yang diperoleh Politeknik Port Dickson itu dapat menyuntik semangat dan inspirasi kepada semua institusi TVET di negara ini untuk terus berinovasi dan mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi.
"Ini seiring dengan agenda TVET negara dalam meningkatkan kualiti hidup graduan dan membina masyarakat yang berkemahiran tinggi.
"Syabas dan tahniah kepada Politeknik Port Dickson! I'm really proud of this. Semoga ia menjadi pembakar semangat untuk kita terus maju dalam membina masa depan yang lebih gemilang.Insya-Allah," katanya.
-- BERNAMA