Politeknik Besut bangunkan Pusat Teknologi Kraf Warisan tahun ini
Bernama
Januari 21, 2024 05:15 MYT
Januari 21, 2024 05:15 MYT
JERTIH: Pusat Teknologi Kraf Warisan (PTKW) yang merupakan pusat kecemerlangan industri batik bakal dibangunkan di Politeknik Besut, pada tahun ini dalam usaha merancakkan lagi industri batik negara.
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Dr Mohd Zahari Ismail berkata Politeknik Besut merupakan satu-satunya institusi pendidikan tinggi di bawah KPT yang menawarkan pengajian berkaitan batik.
"Program pengajian sedia ada yang ditawarkan di politkenik ini ialah Diploma Rekabentuk Kraf dan Diploma Rekabentuk Fesyen Batik yang berada di bawah Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual.
"PTKW dijangka ditubuhkan dalam tempoh tiga hingga enam bulan daripada sekarang apabila semua proses berkaitan selesai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Galeri Kraf Warisan Politeknik Besut dekat Bukit Keluang, di sini pada Ahad.
Mohd Zahari berkata penubuhan pusat bertaraf antarabangsa itu bakal melonjakkan lagi nama politeknik selaras dengan arahan kerajaan pada 21 Ogos tahun lepas yang mewajibkan penjawat awam memakai pakaian batik pada setiap Khamis selain saranan memakainya pada hari biasa.
Beliau berkata PTKW akan memberi fokus kepada penggunaan teknologi terkini dalam industri batik termasuk memperkenalkan penghasilan produk berkenaan melalui teknologi digital dalam pelaksanaan kokurikulum pengajiannya.
Pusat itu juga katanya, akan membolehkan kolaborasi lebih aktif dengan pemain atau sektor industri batik khususnya di Terengganu melalui program pertukaran pengetahuan dan kepakaran.
"PTKW juga memberi peluang kepada pelajar dan orang luar meningkatkan ilmu mereka dalam bidang berkaitan, dan para graduan boleh menyambung pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi atau menjadi usahawan kelak.
"Kita yakin ia (PTKW) akan membantu industri batik negara untuk berada di tempat lebih tinggi dengan cepat," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zahari memaklumkan setakat ini terdapat 12 buah pusat teknologi dalam pelbagai disiplin pengajian berada di 12 daripada 36 buah politeknik dan empat lagi iaitu masing-masing dua di dua Kolej Komuniti di seluruh negara.
-- BERNAMA