Polisi penggunaan akhbar sebagai pembungkus makanan perlu diseragam - Subramaniam

Dania Zainuddin
Disember 8, 2015 15:09 MYT
SUBRAMANIAM: Penggunaan kertas bercetak atau surat khabar dalam pembungkusan makanan berpotensi memberi kesan kepada kesihatan kita. -Gambar fail
Penggunaan bahan bercetak dan surat khabar sebagai pembungkus makanan perlu dielakkan kerana berpotensi memberi kesan kepada kesihatan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri S. Subramaniam berkata perbincangan perlu dilaksana untuk memastikan polisi penggunaan kertas bercetak ini diseragamkan di seluruh negara.
Katanya, polisi ini sudah jelas, bagaimanapun setakat ini pihak kementerian masih menggunakan pendekatan yang menyokong dan mendidik para peniaga makanan berhubung isu itu.
"Penggunaan kertas bercetak atau surat khabar dalam pembungkusan makanan berpotensi memberi kesan kepada kesihatan kita.
"Ia (surat khabar) yang disentuh oleh orang ramai dan dakwat yang digunakan adalah bahan cemar. Jika ia digunakan sebagai pembungkus makanan, tentunya mampu menjadi punca kepada masalah kesihatan."
"Kementerian Kesihatan setakat ini, hanya menggunakan pendekatan mendidik. Bagaimanapun, perbincangan perlu dilakukan untuk menyelaraskan pelaksanaan polisi ini di seluruh negara," kata Subramaniam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kerajaan Perlis yang menguatkuasakan undang-undang bagi melarang penggunaan kertas surat khabar sebagai pembungkus makanan bermula 1 Januari 2016.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Jafperi Othman berkata tindakan itu adalah berasaskan hasil kajian toksilogi di mana kertas cetak mempunyai bahan kimia yang boleh menyebabkan penyakit kanser.
Subramaniam berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Forum Kesihatan Makanan EU-ASEAN yang berlangsung selama dua hari di Kuala Lumpur bermula Selasa.
Forum itu bertujuan untuk menyelaraskan undang-undang serta penstrukturan berkaitan keselamatan makanan di antara ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU).
Selain itu, ia juga adalah platform untuk berkongsi pandangan dan pengalaman antara penggiat industri makanan di ASEAN dan EU ke arah meningkatkan mutu dan jaminan makanan yang memasuki sesebuah negara.
Subramaniam yakin dengan penyelarasan polisi makanan, ia akan membuka peluang serta merancakkan lagi ekosisten perniagaan di ASEAN dan rantau lain.
"Malaysia sebagai tuan rumah 'Pusat Penilaian Risiko' pada tahun ini, diberi tanggungjawab untuk adakan program bagi meningkatkan mutu khususnya keselamatan makanan dan memastikan standard keselamatan yang lebih tinggi.
"Polisi sebagai contoh, Polisi Makanan ASEAN, kita berharap kita menuju satu sistem pengawalseliaan makanan ASEAN.
"Pencapaian ini bermaksud apabila pengeluar makanan di ASEAN yang patuhi piawaian ASEAN, pengeluar boleh medapat akses pasaran di negara lain tanpa halangan dan itu akan tingkatkan perdagangan di ASEAN," kata Subramaniam.
Pada masa sama, Subramaniam menggesa pengusaha kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia untuk meningkatkan tahap keselamatan makanan produk supaya dapat berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Katanya, PKS merupakan penyumbang utama dalam industri perniagaan di Malaysia memainkan peranan penting dalam memastikan mereka mendapat akses pasaran yang lebih luas bukan sahaja di dalam Malaysia tetapi di luar negara.
#kanser #masalah kesihatan #pembungkus makanan #peniaga makanan #subramaniam #surat khabar
;