Polisi kerajaan tidak jejaskan pelabur - Tun Dr Mahathir

Rahimah Abdullah
Oktober 27, 2018 14:58 MYT
Kerajaan yakin polisi baharu itu akan mewujudkan asas yang lebih kukuh, perbelanjaan berhemah dan merangsang sektor swasta.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan kepada pelabur bahawa sebarang polisi negara tidak akan merosakkan perniagaan dan kerjasama dengan mereka.
Jelasnya, kerajaan yakin polisi baharu itu akan mewujudkan asas yang lebih kukuh, perbelanjaan berhemah dan merangsang sektor swasta.
"Saya ingin memberi jaminan bahawa ekonomi Malaysia mampu bergerak lancar di sebalik cabaran dan ketidakpastian global. Polisi kerajaan akan sentiasa mesra perniagaan dan responsif kepada cadangan serta idea baharu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Tahunan International Federation of Technical Analysis 2018 (IFTA 2018) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.
Tambahnya, negara sudah bersiap sedia untuk meningkatkan usaha dalam menghadapi sebarang kejutan kewangan global.
Beliau berkata, Malaysia baharu yang menyaksikan perubahan dalam kepimpinan negara juga telah memberi harapan dan aspirasi baharu kepada rakyat.
Justeru katanya, Belanjawan 2019 yang akan dibentangkan pada 2 November ini juga akan memastikan pengukuhan ekonomi negara dan kemakmuran rakyat.
"Tanpa ragu, sepanjang perjalanan kita dalam menghadapi kepelbagaian dan ketidakpastian ini, kita perlu mengetepikan perbezaan, perkara-perkara serta pemikiran yang remeh, dan bersama-sama membangunkan negara.
"Jika kita boleh bersama-sama bersatu pada 9 Mei lalu bagi menghapuskan kerajaan yang korup sebelum ini, pastinya ia memberi matlamat kepada kita untuk membantu kerajaan baharu dalam membuat penambahbaikan dan meremajakan negara," kata beliau.
#ekonomi #international #kerajaan #Kuala Lumpur #Mahathir Mohamad #Malaysia #menteri #Perdana Menteri #rakyat
;