Polisi Amerika punca kewujudan ekstrimis Islam - Tun M
Astro Awani
September 22, 2014 12:57 MYT
September 22, 2014 12:57 MYT
Polisi Amerika Syarikat disifatkan menjadi punca kewujudan militan dan golongan ekstrimis Islam di seluruh dunia.
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kejutan kemunculan gerakan untuk menubuhkan negara Islam di Asia Barat dilihat faktor utama situasi itu berlaku hari ini.
"Gerakan ini berjaya menguasai Iraq dan menubuhkan kerajaan sendiri. Gerakan itu juga sedia untuk mara lebih jauh sekiranya tentera kerajaan Iraq tidak berjaya mengekang mereka.
"Dari mana asalnya gerakan ini? Seperti Taliban yang wujud angkara ciptaan Amerika juga sendiri.
"Amerika kini takut dengan kebangkitan Syiah dan puak Islam yang paling kuat menentang Barat, " katanya di dalam tulisan terbaharunya di dalam blog chedet.cc.
"Selepas 10 tahun menakluk Iraq, Amerika putuskan sudah cukup masa di Iraq dan mahu terus pulang, jadi mereka pujuk Syiah untuk mewujudkan kerajaan perpaduan dengan golongan minoriti Sunnah.
"Tetapi Syiah tidak mahu mengiktiraf Sunnah di dalam kerajaan, Naib Presiden Sunnah turut dituduh melakukan plot menentang kerajaan dan melarikan diri ke Turki untuk mengelakkan ditangkap dan dihukum bunuh oleh kerajaan Iraq.
"Kerana itu semasa pemerintahan Saddam dari golongan Sunnah kini sudah menjadi sebuah negara Syiah," ujarnya.
Rentetan itu tegas Dr Mahathir, kebangkitan di Syria selepas itu dilihat mahu menggulingkan Presiden Syria, Bashar Assad dari golongan Syiah.
"Amerika selalu mahukan kerajaan Syiah Bashar ditukar dengan kerajaan Sunnah.
"Dengan Iraq dan Iran di bawah peraturan Syiah, kerajaan Syiah di Syria akan mengubah kedudukan keseimbangan rantau Asia Barat yang memihak kepada puak Syiah sekali gus menjadi musuh terkuat Amerika.
"Jadi apabila ada cubaan untuk menggulingkan kerajaan Basyar, Amerika melihat ia satu peluang untuk menggantikan kerajaan Basyar dengan kerajaan Sunnah," katanya.
Tambah Dr Mahathir, untuk memastikannya menjadi perang saudara di Syria, Amerika mengambil keputusan untuk membekalkan bantuan ketenteraan dan kewangan kepada pemberontak Sunnah di Syria untuk memastikan Bashar digulingkan.
"Ramai pejuang Sunnah menentang Syiah. Mereka menerima pertolongan Amerika dan menrentasi Syria untuk ke Iraq untuk menggulingkan kerajaan Syiah di sana.
"Mereka turut melahirkan seorang pemimpin Sunnah untuk mentadbir Sham, sebuah wilayah yang sebelum ini dipecahkan British dan Perancis kepada Iraq, Syria, Lebanon dan Palestin.
"Seandainya Sunnah berjaya menubuhkan kerajaan Islam, ia akan meletakkan Israel dan kepentingan Amerika dalam bahaya...di peringkat ini, Amerika merasakan penggulingan Bashar bukan satu idea yang baik," jelasnya.
Sebaliknya jelas Dr Mahathir, Amerika perlu menjadi sekutu Syria untuk menentang kebanjiran pejuang dari Eropah yang ingin menyertai kumpulan ekstrimis.
"Seandainya negara Islam di Sham direalisasikan, Amerika akan melihat ia berhadapan musuh yang makin rumit.
"Amerika dilihat tidak mengambil teladan daripada kegagalan strategi mereka sebelum ini. Mereka mencipta Taliban untuk menentang Russia di Afghanistan namun ia gagal.
"Mereka menyertai peperangan menentang Afghanistan dan Iraq, dengan angkuhnya percaya mereka boleh menang dalam tempoh tiga bulan. namun selepas 10 tahun terlibat dalam peperangn yang menelan belanja besar, apa yang mereka berjaya lakukan adalah melahirkan kerajaan ekstrimis Islam. Mereka juga tidak mampu membebaskan diri dari dua negara ini," katanya.