Polis yang terlibat dalam kematian Dharmendran akan digantung tugas

Bernama
Jun 3, 2013 19:21 MYT
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah memberi jaminan bahawa pegawai polis yang terlibat dalam kematian tahanan N. Dharmendran akan digantung tugas.
Beliau berkata, kementeriannya dan polis tidak akan kompromi dengan sebarang kes di mana terdapat individu yang meninggal dunia ketika masih dalam tahanan polis.
“Ia sedang dilakukan,” katanya ketika ditanya mengenai tuntutan supaya penggantungan tugas terhadap para pegawai yang bertugas ketika Dharmendran meninggal dunia pada 21 Mei.
Ahmad Zahid turut menasihatkan semua pihak termasuk parti politik kerajaan dan pembangkang serta badan-badan bukan kerajaan(NGO)mewakili masyarakat India, supaya tidak beremosi dan mengatur protes jalanan berhubung kematian tiga individu termasuk Dharmendran dalam tahanan polis baru-baru ini.
Sebaliknya, beliau meminta semua pihak agar memberi kepercayaaan sepenuhnya terhadap jawatankuasa khas diketuai Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam usaha menangani insiden kematian mengejut tahanan di lokap.
"Saya ingin memberi jaminan kepada masyarakat umum biarpun mereka terdiri daripada parti bersama kerajaan atau di luar kerajaan, selagi diberikan kepercayaan kepada kami, kami tidak bertolak ansur dalam soal kematian.
"Yakinlah, apa yang kami lakukan ialah sesuatu yang mengikut piawaian yang ditentukan di peringkat antrabangsa," katanya ketika ditanya keinginan Pengarah Strategik MIC S. Vell Paari bersama NGO berasaskan India untuk menganjurkan protes jalanan sebagai membantah kematian berterusan individu India dalam tahanan polis.
Katanya kerajaan memandang serius perkara itu, justeru ketua polis negara sendiri mengetuai jawatankuasa khas siasatan itu dan bukannya pegawai kanan.
Ahmad Zahid menegaskan bahawa kerajaan tetap tidak akan berkompromi dalam isu itu yang hangat diperkatakan ketika ini.
"Kita cukup prihatin terhadap kematian di tahanan berkenaan. Saya juga menyatakan bahawa kami tidak boleh berkompromi sebarang kematian yang berlaku ketika siasatan dijalankan," katanya.
Jelasnya selain kapasiti sebagai menteri, beliau sendiri melihat perkara itu atas dasar perikemanusian yang perlu dicari penyelesaian dan keadilan.
"Tidak perlu mengadakan protes jalanan dan sebagainya kerana saya dan timbalan mengambil keprihatinan yang cukup mendalam dalam perkara ini.
"Kepedulian ini bukan hanya atas kapasiti sebagai orang yang diberi tanggungjawab untuk mengetahui kementerian ini, tetapi tentang soal kemanusiaan harus diberikan tekanan bagi pelaksanaannya," katanya.
Sehubungan dengan itu, katanya, kerajaan juga akan menyemak semula Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dijalankan oleh anggota polis yang bertugas dalam menyoalsiasat tahanan.
"SOP akan disemak semula dan jika individu tertentu melakukan siasatan di luar daripada SOP berkenaan maka tanggungjawab itu tidak diletakkan kepada pasukan polis secara keseluruhannya tetapi individu yang berkenaan," katanya.
Tiga insiden kematian tahanan terbaharu ialah; R. Jamesh Ramesh, 40, yang ditemui mati ketika dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada 26 Mei, sehari selepas ditahan atas kesalahan dadah.
Dharmendran, 32, pula mati ketika ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 21 Mei lepas manakala jurutera P.Karuna Nithi, 42, menjadi individu ketiga yang mati ketika dalam tahanan polis di Tampin Sabtu lalu.
#Ahmad Zahid Hamidi #Dharmendran
;