Polis yakin suspek kes tiga mayat ditemukan bertindan masih di Malaysia
Umavathi Ramayah
September 25, 2023 19:50 MYT
September 25, 2023 19:50 MYT
KUALA LUMPUR: Polis yakin dua suspek utama kes pembunuhan tiga lelaki warga Sri Lanka yang ditemukan dalam keadaan bertindan, diikat kaki dan tangan manakala kepala mereka ditutup dengan plastik di stor sebuah rumah kedai di Sentul pada Jumaat lalu, masih berada dalam negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, semakan yang dilakukan polis mendapati tiada rekod kedua-dua suspek keluar dari negara,
"Kita yakin kes ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat dan setakat ini kita masih memburu kedua-dua suspek utama.
"Semakan mendapati mereka masih lagi berada di Malaysia," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Allaudeen memberitahu, motif sebenar kejadian itu tidak dapat dipastikan selagi dua suspek utama kes bunuh itu tidak ditahan.
Dalam pada itu, beliau menafikan kejadian itu ada kaitan dengan konflik di negara asal mereka.
"Berdasarkan siasatan awal ia menunjukkan memang tidak ada kaitan dengan perkara tersebut," ujarnya.