Polis yakin dapat tahan majikan suspek utama kes pembunuhan Najadi - Bakri

Bernama
Oktober 6, 2013 07:32 MYT
Polis yakin dapat menahan majikan suspek utama kes pembunuhan pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysia (AmBank) Hussain Ahmad Najadi dengan kerjasama pihak Interpol.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata pihaknya telah memberi tempoh tertentu kepada kerajaan Australia untuk membantu menahan suspek itu.
"Setakat ini kami belum menerima sebarang maklumat daripada negara itu tetapi kami berharap dengan bantuan Interpol, penjenayah itu akan dibawa ke negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Penutup Kejohanan Olahraga dan Tarik Tali Piala Ketua Polis Negara 2013 di sini, pada Ahad.
Selasa lepas, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata lelaki tempatan berumur 53 tahun terbabit dipercayai melarikan diri ke Australia selepas pembunuhan itu.
Pada 22 Sept lepas, suspek utama kes itu ditahan bersama-sama dua rakannya dalam serbuan 12.30 tengah malam di sebuah rumah di Taiping, Perak, dan pada Khamis lepas dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh.
Hussain, 75, maut manakala isterinya cedera parah akibat ditembak dari jarak dekat di kawasan parkir kereta sejurus keluar dari tokong Kuan Yin Temple di Lorong Ceylon di sini pada 29 Julai lepas.
#ambank #Hussain Ahmad Najadi #Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur #Ku Chin Wah #Kumpulan Perbankan Arab-Malaysia #Mohd Bakri Zinin #Timbalan Ketua Polis Negara
;