Polis tunggu pengesahan Thailand dan Australia keberadaan Sajat

Astro Awani
November 3, 2021 10:28 MYT
Sebelum ini, Nur Sajat menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya berkongsi gambar rumah baharunya yang didakwanya terletak di Canterbury, Australia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa Thailand dan Australia berhubung keberadaan sebenar usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, untuk itu pihaknya sudah menghantar pemakluman kepada Kedutaan Malaysia di Thailand dan Australia untuk mendapatkan pengesahan.
Menurutnya, setakat ini, maklumat yang ada hanya diketahui melalui platform media sosial yang mana Nur Sajat mengaku dia berada di Australia.
Namun katanya PDRM perlu membuat pengesahan secara rasmi mengenainya.
BACA: Bakal menetap di Australia? Sajat tayang rumah di sana
BACA: Polis sudah hantar permohonan ekstradisi Sajat kepada Thailand
BACA: Akhirnya Sajat mengaku dia adalah...
“Sajat seperti kita dapat tahu memang nak buat pengesahan dia berada di Australia. (Polis) belum dapat pengesahan lagi secara formal tetapi secara sendiri mengakui dia (mengaku) berada di Australia.
“Tetapi secara rasmi yang kita hantar kepada pihak Kedutaan Australia dan kita hantar makluman kepada pihak Kedutaan Thailand untuk membuat pengesahan sama ada dia telah keluar daripada Thailand dan dia sudah sampai Australia masih belum dapat kata putus lagi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Tambah Abd Jalil lagi, sekiranya menerima pengesahan individu terbabit berada di Australia, pihaknya akan cuba menyalurkan maklumat kepada pihak Australia.
Bagaimanapun terpulang kepada hak negara berkenaan untuk memberikan sebarang reaksi mengenainya.
Nur Sajat menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya sebelum ini berkongsi gambar rumah baharunya yang didakwanya terletak di Canterbury, Australia.
Dia turut menyatakan rasa terharu kerana pihak berkuasa Australia yang katanya banyak memberi sokongan terhadapnya daripada pelbagai aspek termasuk mendakwa diberi rumah itu.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad kerana gagal hadir pada sebutan semula kesnya tanpa sebab pada 23 Februari lalu.
Sajat juga dikehendaki di Malaysia mengikut Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam serta menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.
Nur Sajat kemudiannya dilaporkan ditahan di sebuah kondominium di Thailand oleh pihak imigresen negara itu selepas PDRM memaklumkan maklumat mengenai keberadaan usahawan dalam buruan berkenaan yang lolos melalui laluan kereta api di Padang Besar, Perlis.
Ketika ditahan, Nur Sajat telah mengemukakan kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang dikeluarkan ibu pejabat suruhanjaya itu di Bangkok dan memaklumkan dia akan berhijrah ke Australia.
#Nur Sajat #polis Malaysia #Abd Jalil Hassan #Kedutaan Australia