Polis tunggu laporan perubatan pelajar tidak sedarkan diri dipercayai akibat vape

Bernama
Ogos 3, 2024 07:31 MYT
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata laporan itu bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan lanjut berhubung isu tersebut. - Gambar fail/Bernama
MARANG: Polis Terengganu sedang menunggu laporan perubatan penuh seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Kemaman yang tidak sedarkan diri selepas dipercayai menghisap rokok elektronik atau vape, bulan lepas.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata ia bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan lanjut berhubung isu tersebut.
"Kalau ikut laporan begitulah (pelajar tersebut tidak sedarkan diri kerana menghisap rokok elektronik), tetapi kita kena lihat laporan doktor (perubatan) terlebih dahulu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Taman Angkat Skuad Aman Wanita (Amanita) Kontinjen Terengganu 2024 di Dewan Terbuka Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bukit Payong di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Razman Setapa.
Media melaporkan baru-baru ini seorang pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Kemaman ditemui tidak sedarkan diri di pekarangan sekolahnya dipercayai setelah menghisap rokok elektronik jenis 'magic mushroom' secara berlebihan.
Dalam perkembangan sama, Mohd Khairi berkata polis sentiasa mengadakan kerjasama dengan pihak sekolah bagi memantau sebarang gejala negatif dalam kalangan pelajar termasuk penggunaan rokok elektronik dan buli.
"Polis di bawah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) setiap hari melawat sekolah di seluruh negeri untuk dapatkan maklumat bukan sahaja berkenaan vape tetapi apa sahaja seperti buli dan sebagainya," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata usaha membanteras penggunaan rokok elektronik di kalangan pelajar memerlukan kerjasama semua pihak terutama ibu bapa dalam memantau aktiviti harian anak-anak mereka.
Sementara itu, Mohd Khairi berkata pelancaran Taman Angkat Amanita Kontinjen Terengganu Tahun 2024 pada hari ini menggambarkan pentingnya penglibatan penduduk setempat terutama suri rumah yang boleh menjadi 'mata dan telinga' polis dalam menangani ancaman jenayah.
Beliau berkata setakat ini terdapat kira-kira 200 pegawai dan anggota skuad Amanita di seluruh Terengganu dan kehadiran pasukan tersebut sejak ditubuhkan pada 2013 dilihat mampu mengurangkan kadar jenayah di negeri ini.
"Kehadiran skuad Amanita di kawasan perumahan seperti di PAKR Bukit Payong ini juga dapat memberikan tips terutama kepada suri rumah tentang cara menghindari jenayah," katanya.
-- BERNAMA
#pelajar tidak sedarkan diri #Polis Terengganu #menghisap vape #Kemaman