Polis tumpu tiga pintu masuk utama

Astro Awani
Mei 7, 2022 07:00 MYT
Situasi aliran trafik dari arah Lebuhraya Pantai Timur menuju ke Plaza Tol Gombak mulai sesak dengan kenderaan warga kota yang mula pulang semula setelah cuti Aidilfitri. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur akan menempatkan anggota dan pegawai di tiga pintu masuk utama laluan ke ibu negara bagi melancarkan proses penyuraian trafik.
Ia melibatkan Tol Gombak, laluan selatan iaitu Leburaya Sungai Besi dan juga laluan dari arah utara iaitu Tol Jalan Duta.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh, langkah ini sebahagian usaha melancarkan aliran ke ibu negara.
Ini susulan jangkaan pertambahan jumlah kenderaan warga kota yang baru pulang dari pelbagai pelusuk negeri sempena cuti Hari Raya Aidilfitri.
"Kita sentiasa meletakkan tahap siap siaga yang tinggi dalam menerima kehadiran warga KL yang balik ke Kuala Lumpur.
"Kita meletakkan anggota-anggota kita untuk membantu mereka ini yang pulang dari kampung masuk ke pusat bandar dan kembali ke rumah masing-masing dalam keadaan selamat.
"Kita akan membantu untuk penyuraian trafik di tempat strategik daripada tiga pintu masuk yang kita tahu iaitu di Tol Gombak, dari selatan seperti Tol Sungai Besi, Lebuhraya Seremban dan juga daripada utara iautu Tol Jalan Duta," katanya.
Beliau sebelum itu meninjau Op Selamat 18 sempena hari raya Aidilfitri 2022 di ibu negara malam Sabtu.
Operasi tertumpu kepada pemeriksaan motosikal dan kereta serta mengesan pemandu mabuk.
#Op Selamat #pintu masuk #trafik #Aidilfitri
;