Polis tumpaskan sindiket perjudian dalam talian, pengurup wang digital tidak sah
Astro Awani
Mei 22, 2023 23:57 MYT
Mei 22, 2023 23:57 MYT
KUALA LUMPUR: Sindiket perjudian dalam talian dan pengurup wang digital tidak sah berjaya ditumpaskan susulan beberapa serbuan di Lembah Klang.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, memaklumlan hasil serbuan tersebut seramai 40 individu terlibat terdiri dari 17 lelaki dan seorang wanita tempatan, 15 lelaki dan enam wanita warganegara China serta seorang lelaki warganegara Singapura.
Noorsiah memberitahu, kesemua suspek yang berumur antara 20 hingga 58 tahun telah ditahan reman bermula 20 hingga 25 Mei.
"Hasil siasatan, sindiket ini didapati menyediakan platform judi dalam talian yang menyasarkan warganegara Taiwan.
"Pelanggan yang berminat untuk bertaruh di platform tersebut dikehendaki untuk membuat pindahan wang ke akaun keldai yang dipercayai berada di negara China.
"Setelah pindahan wang selesai, pelanggan akan diberikan "points" untuk digunakan di platform perjudian yang disediakan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Noorsiah juga memaklmkan, siasatan mendapati, sindiket ini turut menjalankan kegiatan pengurup wang digital tanpa lesen dengan melakukan penukaran wang yang diterima dari negara China kepada matawang Kripto (USDT).
Beliau menjelaskan, beberapa barang kes turut dirampas antaranya 88 unit telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM29,587, wang tunai USD berjumlah USD5,000, satu ketul jongkong berwarna keemasan, tiga buah kereta, tiga utas jam tangan, tiga buah beg tangan, pelbagai jenis barang kemas dan pelbagai jenama set komputer.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.